Da’i Syed Dibebaskan Sementara, Mahkamah Rayuan Benar Gantung Hukuman Penjara 10 Tahun

LocalPolitics
13 Feb 2026 • 3:25 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

PUTRAJAYA – Selepas 21 hari menjalani hukuman penjara, pendakwah selebriti Da’i Syed dibebaskan sementara oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim yang diketuai oleh Azmi Ariffin sebulat suara membenarkan permohonan Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, bagi menggantung pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini.

Menurut laporan Kosmo!, mahkamah selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak serta penghujahan bertulis mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pemohon dilepaskan atas jaminan sehingga rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin. Selain itu, pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan beliau dikehendaki melaporkan diri di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam antara 1 hingga 5 haribulan setiap bulan bermula Mac ini.

Sebaik prosiding selesai, isterinya, Hana Ismail, dilihat memeluk suaminya di luar kamar mahkamah.

Alasan Penggantungan Hukuman

Hakim Azmi dalam penghakimannya berkata, antara faktor yang dipertimbangkan ialah pemohon tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan sama ada di Mahkamah Sesyen mahupun Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Mahkamah juga mendapati tiada bukti menunjukkan beliau pernah cuba melarikan diri atau mengelak daripada menghadiri prosiding sepanjang tempoh perbicaraan.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Meor Hashimi Abdul Hamid.

Dalam prosiding tersebut, Da’i Syed diwakili peguam M. Athimulan, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini.

Terdahulu pada 23 Januari lalu, beliau diperintahkan menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita tujuh tahun lalu.

Rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu kini menunggu keputusan Mahkamah Rayuan. – The Malaysian Update

The post Da’i Syed Dibebaskan Sementara, Mahkamah Rayuan Benar Gantung Hukuman Penjara 10 Tahun appeared first on The Malaysian Update.