PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Selepas berdepan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan, pendakwah selebriti, Da’i Syed akhirnya menarik nafas lega apabila Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu melepas dan membebaskannya daripada satu pertuduhan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.
Dua daripada tiga hakim memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan akhir Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, sekali gus mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini.
Bapa kepada dua anak itu dilihat gagal menahan air matanya ketika mendengar keputusan berkenaan di kandang tertuduh.
Isterinya, Hana Ismail yang berada di galeri awam juga menangis sambil menutup muka dengan tangan selepas mendengar keputusan itu.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid merupakan satu-satunya hakim yang tidak menyokong keputusan majoriti berkenaan.
Ketika membacakan keputusan majoriti 2-1, Azman berkata, sabitan terhadap Syed Shah Iqmal selaku perayu didapati tidak selamat.
“Rayuan perayu dibenarkan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan.
“Perayu dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan,” katanya.
Azman berkata, mahkamah berpendapat terdapat kekhilafan melampau atau salah arah dalam dapatan mahkamah terdahulu sehingga mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Katanya, berdasarkan hujahan pembelaan, peguam perayu berhujah anak guamnya tidak pernah menafikan berlaku hubungan persetubuhan dengan mangsa.
Bagaimanapun, beliau berkata, perayu menegaskan hubungan itu dilakukan atas kerelaan wanita terbabit.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun ketika itu di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Atas kesalahan itu, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya pada akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Pada 30 Ogos 2024, dia menangis teresak-esak selepas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Adlin Abdul Majid menjatuhkan hukuman berkenaan dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara pada hari sama.
Selepas 21 hari berada di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini sehingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar.
**media[3699586]**
Pada 23 Januari pula, Mahkamah Tinggi sama mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.
Hakim, Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dengan alasan pembelaan perayu bersifat penafian semata-mata selain berpendapat tiada alasan khas untuk menangguhkan hukuman itu.
Dia sekali lagi ditempatkan di penjara namun pada 14 Februari lalu, iaitu selepas 21 hari dipenjarakan, bapa kepada dua anak itu dibebaskan sementara sehingga rayuan akhir di Mahkamah Rayuan didengar.






