
KEMENANGAN Dabra Sia selaku juara sulung program Borneo Rising membuka lembaran baharu dalam perjalanan muzik penyanyi kelahiran Sabah itu yang kini berhasrat memperluas bakatnya ke peringkat lebih tinggi.
Dabra berkata penyertaan dalam program realiti itu bukan sekadar peluang untuk membuktikan kemampuan sebagai penyanyi malah menjadi platform bagi mempelajari aspek lain dalam industri muzik khususnya penulisan lagu dan membina hubungan baik dengan komposer serta penulis lirik.
DABRA dinobatkan juara sulung program Borneo Rising pada Ahad.Penyanyi yang cukup terkenal menerusi lagu Senyuman Sabahan dan Hanya Di Sabah itu berkata meskipun sudah mempunyai lagu sendiri tetapi karya terdahulunya lebih banyak mengetengahkan muzik dan identiti Sabah.
“Selain menyanyi, saya mahu belajar menulis lagu dan membina hubungan baik dengan komposer serta penulis lirik supaya dapat memperkukuh kemahiran muzik saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas pentas akhir Borneo Rising di ITCC, Penampang pada Ahad.
Dalam pada itu Dabra mengakui pada awalnya dirinya berasa ragu-ragu untuk menyertai program itu kerana sudah dikenali sebagai penyanyi di Sabah.
Bagaimanapun dia akhirnya melihat Borneo Rising sebagai peluang untuk mengembangkan bakat dan memperkenalkan dirinya kepada khalayak lebih luas.
Mengulas kemungkinan berhijrah ke Kuala Lumpur sekiranya menerima tawaran sesuai, Dabra berkata beliau terbuka kepada peluang berkenaan bergantung kepada keadaan dan rezeki.
DARI kiri Petrova, Dabra, Joy dan Harris.“Kalau ada rezeki, sudah tentu saya terbuka kepada peluang itu. Namun saya perlu melihat keadaan dan mempertimbangkannya apabila tiba masanya,” katanya.
Dabra turut menyifatkan kemenangan itu cukup bermakna selepas lapan minggu memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang pertandingan berlangsung.
Menurutnya semua peserta mempunyai matlamat yang sama untuk membuktikan bahawa penyanyi dari Sabah mampu menampilkan persembahan berkualiti dan bersaing dengan peserta program realiti televisyen lain.
Pada pertandingan akhir itu Dabra mempersembahkan lagu Abracadabra nyanyian asal Lady Gaga secara solo sebelum berduet dengan Mai K.O.I menerusi lagu Ku Bersuara.
Selain muncul juara, Dabra turut memenangi anugerah Persembahan Paling Power selepas meraih pengiktirafan itu selama tujuh minggu sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 bagi kategori berkenaan.
DABRA turut memenangi Persembahan Paling Power buat kali ketujuh.Sebagai juara, Dabra menerima wang tunai RM30,000, trofi tajaan Astro dan CelcomDigi, peluang merakamkan sebuah single berserta video muzik terbitan Rocketfuel serta kontrak pembangunan dan pemasaran artis bernilai sehingga RM100,000 tajaan syarikat itu.
Pentas akhir edisi sulung Borneo Rising yang dikendalikan Zizan Razak dan Sherry Alhadad turut menyaksikan Petrova muncul naib juara manakala Joy menduduki tempat ketiga dan Harris di tempat keempat.


