
KULAI: Johor berhasrat memperkukuh kedudukan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) global dengan memperluas industri pembuatan tempatan menerusi penggunaan teknologi moden.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, Johor kini memiliki lebih daripada satu gigawatt kapasiti pusat data yang beroperasi.
Manakala katanya, antara tiga hingga lima gigawatt lagi berada dalam fasa pembinaan atau peringkat perancangan.
“Skala ini mewujudkan peluang untuk membangun ekosistem yang lebih luas, daripada peralatan berkuasa tinggi dan sistem penyejukan kepada perkakas elektronik moden, perkhidmatan kejuruteraan serta ketersambungan optik berkelajuan tinggi.
“Kami bukan sahaja mahu Johor menjadi hos kepada infrastruktur digital, tetapi turut membantu menghasilkan teknologi yang memacunya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi PRO3C (Malaysia) Sdn. Bhd., di Senai, di sini hari ini.
Tambah Ting Han, pelaburan PRO3C yang merupakan sebuah syarikat tersenarai di Taiwan akan membantu Johor membangunkan teknologi diperlukan bagi menyokong infrastruktur digital dunia.
“Kami mahu anak muda Johor menceburi bidang-bidang berkemahiran tinggi ini, membangunkan kemahiran khusus dan menyertai bidang kerjaya dengan peranan dan tanggungjawab besar.
“Kami menggalakkan kerjasama antara PRO3C dengan institusi pengajian tinggi tempatan untuk menyediakan latihan industri, latihan amali dan program yang disesuaikan mengikut keperluan industri,” katanya.
Menurut beliau, perniagaan tempatan juga perlu diberi peluang untuk menyertai rantaian bekalan global terutama dalam bidang perkakas berketepatan tinggi, automasi, penyelenggaraan peralatan, pembungkusan dan logistik.
“Apabila pembekal Malaysia menerima kepercayaan daripada pengilang global, hubungan tersebut mampu membuka pintu kepada pelanggan dan pasaran yang jauh melangkaui Johor atau Malaysia,” katanya.-UTUSAN
The post Johor mahu perkukuh kedudukan dalam teknologi AI global appeared first on Utusan Malaysia.



