
JOHOR BAHRU – Sepasang suami isteri dipercayai menjadi dalang mengajak tiga rakan mereka bercuti ke Jepun sebelum kesemua mereka ditahan bersama lima kilogram (kg) kokain di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada 10 Oktober lalu.
Lebih mengejutkan, setiap seorang daripada lima rakyat Malaysia itu dipercayai diberikan sepasang kasut yang mengandungi dadah untuk dibawa ke negara berkenaan dengan upah RM8,000 seorang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasangan suami isteri dari Sarawak itu dipercayai mengatur perjalanan bersama tiga rakan mereka sebelum kumpulan berkenaan ditahan pihak berkuasa Jepun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan itu berlepas dari Sarawak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan penerbangan ke Tokyo.
“Mereka adalah keldai dadah. Mereka diberi ganjaran RM8,000 seorang untuk membawa kasut itu.
“Kita percaya mereka semua mengetahui apa yang dibawa kerana masing-masing diberikan sepasang kasut yang dipercayai telah diletakkan dadah lebih awal,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Hussein berkata, kumpulan itu dipercayai diketuai suami berkenaan yang mengajak isterinya sebelum wanita itu mengajak rakan-rakannya menyertai percutian ke Jepun.
Katanya, perjalanan mereka turut diuruskan oleh seorang ejen pelancongan dari Kuala Lumpur, namun individu itu tidak ditahan kerana dipercayai tidak mengetahui kegiatan penyeludupan dadah berkenaan.
“Ejen pelancongan itu sudah pulang ke Malaysia dan setakat ini dipercayai tidak mempunyai pengetahuan mengenai kegiatan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semakan mendapati kelima-lima individu berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada mereka pernah menggunakan modus operandi sama ke negara lain atau mempunyai penglibatan lebih luas dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.
Sebelum ini, pihak berkuasa Jepun menahan lima rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada 10 Oktober lalu selepas menemukan kira-kira 5kg kokain yang disembunyikan di dalam pelapik kasut mereka.
Media Jepun menganggarkan dadah yang dirampas itu bernilai kira-kira 120 juta yen atau RM3.1 juta.-KOSMO! ONLINE
The post Dadah Jepun: Suami isteri ‘rekrut’ tiga rakan jadi keldai dadah appeared first on Kosmo Online.






