
JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri yang ditahan bersama lima kilogram kokain di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun pada 10 Oktober lalu dipercayai mengajak tiga rakannya untuk menjadi keldai dadah sambil bercuti ke negara berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya percaya kesemua mereka tahu sedang membawa bahan terlarang dipercayai dadah dalam penerbangan tersebut.
Katanya, kesemua mereka diberikan sepasang kasut oleh sindiket dadah yang telah diletakkan dadah di dalamnya.
“Pasangan suami isteri itu berasal dari Sarawak, mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum ke Tokyo. Kita percaya mereka semua tahu apa yang mereka bawa.
“Mereka adalah keldai dadah, mereka diberikan ganjaran RM8,000 seorang untuk membawa kasut berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini
Tambah Hussein, mereka dikesan menggunakan khidmat seorang ejen pelancongan dari Kuala Lumpur untuk menguruskan perjalanan ke Tokyo, namun ejen berkenaan tidak mengetahui berhubung bahan terlarang berkenaan.
“Kumpulan ini dipercayai diketuai oleh suami pasangan berkenaan, maksudnya dia ajak isterinya dan tiga lagi kawan-kawan mereka. Semakan mendapati kesemua mereka tidak mempercayai rekod kesalahan lampau.
“Ketika ini, kita masih siasat sama ada mereka pernah melakukan kegiatan sama, iaitu menjadi keldai dadah dan menaiki penerbangan ke negara-negara lain,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia agar berhati-hati apabila menerima tawaran melancong ke luar negara.
“Orang ramai juga perlu memastikan barangan yang dibawa mereka tidak disalahgunakan sindiket untuk membawa dadah,” katanya.
Pada 10 Oktober lalu, media melaporkan pihak berkuasa Jepun menahan lima rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo selepas menemukan lima kilogram kokain yang disembunyikan di dalam pelapik kasut mereka.
Dadah yang dirampas itu bernilai kira-kira RM3.1 juta.-UTUSAN
The post Lima rakyat Malaysia ditahan di Jepun tahu dijadikan keldai dadah appeared first on Utusan Malaysia.






