Dadah RM8.6 juta dirampas, taktik guna nombor pendaftaran palsu terbongkar

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 11:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara bungkusan dipercayai mengandungi dadah yang dirampas menerusi serbuan dan tangkapan yang dijalankan.

KUALA LUMPUR – Taktik menggunakan kereta dengan nombor pendaftaran palsu untuk mengedar dadah terbongkar dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pada 3 April lalu itu berjaya menahan dua suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia 42 dan 28 tahun.

Menurutnya, kedua-dua suspek diberkas di kawasan parkir sebuah kondominium di Jalan Pandan Indah hasil risikan pihaknya.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 50 bungkusan disyaki dadah jenis ketamin seberat 51.43 kilogram.

"Pemeriksaan lanjut di unit kondominium sama membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah lain termasuk methamphetamine, ketamin, MDMA, cecair vape mengandungi dadah serta pil ekstasi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan melibatkan 53.32 kilogram ketamin, 43.77 kilogram methamphetamine, 1.01 kilogram MDMA, 17.57 kilogram cecair vape mengandungi MDMA dan 6.3 kilogram pil ekstasi.

"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM8.6 juta dan mampu merosakkan kira-kira 424,000 penagih,” katanya.

Katanya,, sindiket dipercayai aktif sejak Januari lalu dengan menjadikan rumah sewa sebagai stor simpanan dadah.

"Modus operandi mereka adalah menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi pihak berkuasa serta mengelakkan dikesan ketika penghantaran dadah.

"Kedua-dua suspek berperanan sebagai ‘store keeper’ dan ‘runner’ dengan menerima upah antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap penghantaran," katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine, amphetamine dan ketamin.

"Semakan turut mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan judi.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 April bagi membantu siasatan," katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Operasi turut melibatkan sitaan dua buah kenderaan iaitu Proton X70 dan Nissan Grand Livina dianggarkan bernilai RM80,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan adalah sebanyak RM8.66 juta.

"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dadah melalui talian hotline JSJN bagi membantu usaha membanteras kegiatan berkenaan," katanya.

End......