Dua sindiket dadah tumpas, polis rampas dadah RM14.6 juta

11 Mar 2026 • 12:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Shazeli (tiga dari kanan) menunjukkan antara bungkusan dadah yang dirampas menerusi siri operasi dijalankan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam pada Rabu.

SHAH ALAM – Kegiatan dua sindiket pengedaran dadah termasuk melibatkan rangkaian antarabangsa tumpas selepas enam individu termasuk seorang wanita diberkas dalam beberapa operasi berasingan awal bulan ini dengan rampasan pelbagai jenis dadah seberat 221.4 kilogram (kg) bernilai RM14.6 juta.

Serbuan yang dijalankan antara 3 hingga 5 Mac lalu di sekitar Gombak, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Kota Warisan dan Sentul itu turut membongkar kegiatan pengedaran bunga ganja untuk pasaran luar negara serta syabu bagi pasaran tempatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, daripada jumlah tangkapan itu, lima suspek merupakan warga asing termasuk seorang wanita.

Menurutnya, operasi pertama membabitkan sindiket pengedaran bunga ganja yang dipercayai menyasarkan pasaran antarabangsa.

"Pada 3 Mac lalu, seorang lelaki warga asing dipercayai keldai dadah ditahan di KLIA bersama sebuah bagasi yang mengandungi 49 bungkusan plastik berisi dedaun kering disyaki bunga ganja seberat 27.2kg.

"Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga asing dipercayai dalang utama sindiket di sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang pada 4 Mac,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi tersebut menemukan satu bagasi mengandungi 25 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 14.3kg.

Menurutnya, hasil soal siasat seterusnya membawa kepada penahanan dua lagi suspek termasuk seorang wanita warga asing di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

"Pemeriksaan di lokasi itu menemukan lima bagasi mengandungi 136 bungkusan plastik berisi bunga ganja seberat 74.8kg.

"Secara keseluruhan, polis merampas bunga ganja seberat 116.3kg dianggarkan bernilai RM9.35 juta,” katanya.

Shazeli berkata, siasatan mendapati kesemua suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun dan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan pelancong antara Disember tahun lalu hingga pertengahan bulan lepas.

Menurutnya, bekalan dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran sebelum dibawa keluar negara menggunakan rangkaian keldai dadah warga asing.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing di sekitar Gombak bersama rampasan dadah jenis syabu.

"Pemeriksaan terhadap sebuah van jenis Nissan yang digunakan suspek menemukan lima beg kanvas mengandungi 64 bungkusan plastik teh disyaki syabu.

"Dadah itu dianggarkan seberat 105.1kg dengan nilai RM5.25 juta,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tempatan berusia 34 tahun bekerja sebagai penghantar barangan syarikat kurier dan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

Katanya, seorang lagi suspek warga asing berusia 47 tahun pula bekerja di sebuah kuil sekitar Batu Caves dan tidak mempunyai rekod jenayah.

Menurutnya, dadah berkenaan dipercayai untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang dan sindiket tersebut dipercayai mula aktif sejak bulan lalu.

Dalam pada itu, polis turut menyita beberapa aset dipercayai hasil kegiatan jenayah termasuk sebuah BMW M4, Proton Iriz, motosikal Yamaha Lagenda, dua jam tangan mewah serta mata wang kripto dengan nilai keseluruhan lebih RM870,000.

"Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.