‘Daddy Sedang Biasakan Diri Dengan Rutin Baru’, Yana Teruja Jumpa Najib

LocalPolitics
25 Aug 2022 • 1:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Yana (kanan) berkongsi yang bapanya sedang menyesuaikan diri dengan rutin baharu di Penjara Kajang. - Gambar media sosial

KUALA LUMPUR - Anak perempuan kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa memaklumkan bapanya sedang membiasakan diri dengan rutin baharu di Penjara Kajang.

Menurutnya, keadaan itu jauh berbeza dengan jadual harian Najib yang sentiasa padat sebelum ini.

“Alhamdulillah, daddy dalam keadaan sihat dan semangat perjuangan daddy masih kuat.

“Keperluan asas daddy juga telah diberikan dan daddy sedang membiasakan diri dengan rutin baru, berbeza dengan jadual harian ‘Bossku’ yang sentiasa padat,” katanya menerusi satu perkongsian di Instagram miliknya.

Pada masa sama, Nooryana atau mesra disapa Yana turut meluahkan rasa teruja bertemu Najib yang hadir ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Yana rasa ini kali pertama kami menanti kehadiran daddy di mahkamah kerana saya dan keluarga dapat meninjau keadaan daddy walaupun dari jauh.

“Terima kasih kami ucapkan kepada pegawai dan pengawal di Penjara Kajang kerana ambil berat keadaan daddy,” katanya.

Pada Selasa lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas beliau kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hari ini, Najib hadir perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi di sini pada jam 8.30 pagi.

Beliau dilihat dibawa menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam dan diiringi pihak polis dan Jabatan Penjara.

Ia adalah penampilan pertama Ahli Parlimen Pekan itu selepas dua hari menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan hari ini berlangsung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. - Getaran, 25 Ogos 2022