Daftar PADU rendah, perkemas sesi penerangan peringkat akar umbi

Politics
3 Mar 2024 • 1:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad memegang plakad PADU ketika meninjau proses pendaftaran sistem tersebut di Dewan UMNO Pontian pada Ahad.

PONTIAN - UMNO Johor disaran mengadakan sesi penerangan bersama akar umbinya mengenai pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang masih kurang mendapat sambutan.

Timbalan pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan data terkini seramai empat juta rakyat telah mendaftar dalam PADU sejak dilancarkan pada 2 Januari lalu.

"Data terbaharu itu menunjukkan jumlah yang masih rendah berbanding sasaran kerajaan iaitu seramai sembilan juta sebelum tarikh akhir pendaftaran sistem tersebut pada 31 Mac ini.

"Sementara di Parlimen Pontian pula, 11,000 individu sudah mendaftar PADU berbanding 70,000 individu yang sepatutnya mendaftar sistem berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Bengkel Pengucapan Awam dan Penerangan Sistem PADU di Dewan UMNO Pontian di sini pada Ahad.

Beliau yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi ( MKT) UMNO menambah, pendaftaran PADU yang masih rendah disebabkan kurang kefahaman dan kekhuatiran mengenai aspek keselamatan sistem PADU.

"Berdasarkan penerangan Jabatan Perangkaan, orang ramai bukan tidak mahu mendaftar PADU.

"Jangan bimbang PADU merupakan sistem kerajaan, maka kerajaan akan bertanggungjawab.

"Saya fikir kerajaan sudah lakukan yang terbaik untuk sistem ini.

"Bagi memudahkan lebih ramai yang faham tentang PADU, saya cadangkan kepada 26 UMNO Bahagian di negeri ini agar membuat penerangan berkenaan PADU di kawasan masing-masing," ujarnya.

Berdasarkan hantaran di laman X rasmi PADU, sebanyak empat juta individu telah mengemas kini maklumat mereka dalam sistem PADU sehingga Sabtu.

Sementara di negeri Selangor, Johor dan Sarawak kekal menduduki tiga carta teratas kemas kini maklumat PADU dengan masing-masing merekodkan jumlah seramai 0.60 juta individu, (0.39 juta) dan (0.53 juta).

Menurut Kementerian Ekonomi, matlamat pelaksanaan PADU adalah untuk memantapkan tadbir urus negara bagi menambah baik perancangan dasar serta pelaksanaan program yang berpandukan data.

Selain itu, pelaksanaan PADU juga tidak hanya bertumpu kepada penyasaran semula subsidi dan bantuan tetapi turut bertujuan mengenal pasti tahap sosioekonomi rakyat dan penentuan dalam penyaluran bantuan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved