liza29/07/2026 - 09:11 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – LYC Healthcare Bhd berdepan risiko penggantungan dagangan saham di Bursa Malaysia selepas syarikat itu memaklumkan kemungkinan tidak dapat mengeluarkan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 sebelum tarikh akhir ditetapkan pada 31 Julai ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kelewatan tersebut berpunca daripada pertukaran juruaudit luar selepas Crowe Malaysia PLT meletakkan jawatan pada 26 Februari 2026 susulan perbezaan pendapat berhubung yuran audit.
Menurutnya, SBY Partners PLT yang dilantik sebagai juruaudit baharu pada 6 Mac 2026 memerlukan lebih banyak masa untuk melengkapkan proses audit bersama pihak pengurusan.
Sehubungan itu, LYC Healthcare menjangkakan laporan tahunan yang merangkumi penyata kewangan beraudit, laporan juruaudit serta laporan pengarah dapat diterbitkan pada atau sebelum 7 Ogos 2026.
Mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia, syarikat tersenarai diwajibkan mengeluarkan laporan tahunan dalam tempoh empat bulan selepas berakhirnya tahun kewangan masing-masing.
Risiko Penggantungan Dan Penyahsenaraian
Sekiranya gagal memenuhi tarikh akhir tersebut, dagangan saham LYC Healthcare akan digantung bermula 10 Ogos 2026 dan hanya akan disambung semula selepas syarikat mengeluarkan laporan tahunannya.
Bursa Malaysia juga boleh memulakan proses penyahsenaraian terhadap syarikat itu sekiranya ia masih gagal mengeluarkan laporan tahunan dalam tempoh enam bulan selepas 31 Julai 2026, selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
Walaupun berdepan kelewatan, syarikat memaklumkan pihak pengurusan sedang bekerjasama rapat dengan juruaudit baharu bagi memastikan proses audit dapat diselesaikan secepat mungkin.
ARTIKEL BERKAITAN: LYC Healthcare kemuka permohonan lanjutan masa pelan regularisasi kepada Bursa Malaysia
Perkembangan itu dijangka menjadi perhatian pelabur memandangkan penggantungan dagangan akan mengehadkan urus niaga saham syarikat sehingga laporan tahunan diterbitkan.
Pada penutupan dagangan Isnin lalu, saham LYC Healthcare diniagakan pada harga 1 sen sesaham dengan nilai permodalan pasaran kira-kira RM7 juta.
Prestasi Kewangan Terus Tertekan
Dari sudut prestasi kewangan, LYC Healthcare terus berdepan cabaran apabila merekodkan kerugian bersih sebanyak RM23.27 juta bagi tahun kewangan 2026, lebih tinggi berbanding kerugian RM17.07 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2025.
Dalam tempoh sama, hasil syarikat merosot 13.7% kepada RM134.19 juta daripada RM155.52 juta pada tahun sebelumnya.
Sehingga 31 Mac 2026, syarikat merekodkan kerugian terkumpul sebanyak RM112.90 juta, di samping memiliki tunai dan baki bank berjumlah RM17.47 juta, manakala jumlah pinjamannya mencecah RM73.3 juta dengan sebahagian besar terdiri daripada saham keutamaan boleh tebus.
LYC Healthcare telah mencatatkan kerugian tahunan secara berterusan sejak tahun kewangan 2012.
Oleh itu, penyelesaian audit serta penerbitan laporan tahunan mengikut tempoh ditetapkan menjadi langkah penting bagi mengelakkan tindakan lanjut daripada Bursa Malaysia. - DagangNews.com






