Khoo Yik Chou bukan lagi pemegang saham terbesar Silver Ridge

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 3:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Khoo Yik Chou bukan lagi pemegang saham terbesar Silver Ridge Image from: Khoo Yik Chou bukan lagi pemegang saham terbesar Silver Ridge liza29/07/2026 - 15:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai – Pemegang saham terbesar Silver Ridge Holdings Bhd, Datuk Khoo Yik Chou bukan lagi pemegang saham utama syarikat tersebut selepas 64.5 juta saham miliknya dijual secara paksa apabila syarat cagaran pembiayaan tidak dipenuhi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Silver Ridge berkata penjualan saham secara paksa yang mewakili pegangan sebanyak 15.7% itu berlaku pada 27 Julai 2026.

 

Susulan transaksi tersebut, pegangan langsung Khoo merosot kepada 2.02%, manakala pegangan tidak langsungnya hanya berbaki 0.49%, menjadikan jumlah keseluruhan kepentingannya hanya 2.51%.

 

Jumlah itu berada di bawah ambang 5% yang ditetapkan untuk seseorang dikategorikan sebagai pemegang saham utama sesebuah syarikat tersenarai.

 

Makluman kepada Bursa Malaysia itu bagaimanapun tidak mendedahkan harga sebenar saham berkenaan dijual. 

 

Berdasarkan harga penutup saham Silver Ridge sebanyak 16 sen pada 27 Julai 2026, nilai pegangan yang dilupuskan dianggarkan sekitar RM10.3 juta.

 

Perubahan Kepimpinan Syarikat

Khoo sebelum ini turut memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Silver Ridge sebelum meletakkan jawatan pada 26 Jun bagi memberi laluan kepada pelaksanaan pelan penggantian dan peralihan kepimpinan syarikat.

 

Pada hari yang sama, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Syauqat Mohd Suhaimi serta Pengarah Eksekutif, Syakur Mohd Suhaimi turut melepaskan jawatan masing-masing.

 

Tidak lama selepas itu, tiga lagi pengarah bebas syarikat turut meletakkan jawatan yang menyaksikan perubahan besar dalam barisan kepimpinan Silver Ridge.

 

Selepas pelupusan saham Khoo, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah kini muncul sebagai pemegang saham utama dengan pegangan sebanyak 6.919%, diikuti Pengarah Urusan Kumpulan yang baharu, Vincent Gan Kean Cheang dengan pegangan 5.52%.

 

Gan sebelum ini merupakan Pengarah Eksekutif syarikat sebelum dilantik menerajui Silver Ridge sebagai Pengarah Urusan Kumpulan.

 

Lembaga Pengarah Baharu Terajui Silver Ridge

Lembaga pengarah Silver Ridge kini dianggotai lima pengarah baharu termasuk Nigel Law Hun Chuen, 37, yang dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas.

 

Silver Ridge menjalankan perniagaan dalam bidang perkhidmatan telekomunikasi, penyelesaian rangkaian serta teknologi hijau dan teknologi digital bersepadu.

 

Sejak awal tahun, harga saham syarikat itu telah susut sebanyak 44.26%, mencerminkan prestasi yang masih lemah di tengah-tengah perubahan pemilikan dan penyusunan semula kepimpinan syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved