liza30/10/2026 - 09:00 Oleh Sarah Nadlin Rohim editor@dagangnews.com KUALA TERENGGANU 30 Okt – Portal berita perniagaan, DagangNews.com dinobatkan sebagai juara bagi kategori Berita Terbaik Media Digital (Ekonomi) sempena Anugerah Apresiasi Media Terengganu 2026 yang berlangsung di Wisma Darul Iman, di sini malam tadi.
Pengiktirafan itu diberikan kepada wartawan ekonomi DagangNews.com, Kamaliza Kamaruddin menerusi laporan khas eksklusif bertajuk 'Terengganu Inc rangka masa depan baharu, sektor minyak dan gas serta RE pemacu pertumbuhan' yang disiarkan pada 22 September 2025.
Beliau membawa pulang wang tunai RM500, plak dan sijil penghargaan.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar.
Lebih 150 pengamal media dan penggiat kandungan digital serta pempengaruh hadir ke majlis anugerah yang dianjurkan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Terdahulu, Wan Sukairi berkata Anugerah Apresiasi Media Terengganu 2026 adalah untuk mengiktiraf sumbangan pengamal media dan pencipta kandungan digital dalam menyampaikan maklumat serta merakam perkembangan negeri tersebut.
Penghargaan terhadap peranan media
"Bermula 2021, anugerah ini juga mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap usaha dan komitmen pengamal media yang bertugas menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
"Tugas media bukan sekadar melaporkan sesuatu kejadian, malah merangkumi usaha mendapatkan maklumat tepat, meneliti fakta serta menyampaikan perkembangan semasa kepada orang ramai, meskipun berdepan kekangan masa dan pelbagai cabaran di lapangan.
"Sumbangan pengamal media dan pencipta kandungan digital wajar dihargai kerana setiap laporan, foto dan rakaman mempunyai nilai tersendiri dalam mendokumentasikan peristiwa serta membantu masyarakat memahami isu yang berlaku," katanya.
Ketepatan fakta kekal jadi keutamaan dalam era digital
Wan Sukairi berkata, hubungan antara kerajaan negeri dengan organisasi media perlu berteraskan profesionalisme, keterbukaan dan sikap saling menghormati, dengan media memainkan peranan untuk bertanya serta menilai, manakala kerajaan bertanggungjawab memberikan penjelasan dan maklumat yang boleh disemak.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan ketepatan maklumat dalam persekitaran komunikasi digital yang berkembang pesat, khususnya apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan untuk mengubah gambar, meniru suara dan menghasilkan video yang kelihatan meyakinkan walaupun sesuatu kejadian tidak pernah berlaku.
"Pengamal media dan pencipta kandungan perlu menyemak sumber, memahami konteks serta menilai kesan sesuatu maklumat sebelum menyiarkannya, selaras dengan prinsip tabayyun dalam Islam yang menuntut kesahihan berita dipastikan terlebih dahulu," katanya.
Media turut berperanan menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027
Wan Sukairi berkata, kerjasama antara media profesional dengan pencipta kandungan digital juga penting dalam mengetengahkan keistimewaan Terengganu menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.
Menurutnya, promosi pelancongan bukan sahaja perlu menonjolkan destinasi seperti pulau, pantai dan Tasik Kenyir, malah mengetengahkan kisah pengusaha inap desa, pemandu pelancong, pembuat kraf, nelayan serta peniaga kecil yang mendapat manfaat daripada kedatangan pelawat.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Apresiasi Media Terengganu 2026 dan berharap pengiktirafan itu menjadi dorongan untuk mereka terus menghasilkan karya yang teliti, beretika dan bermanfaat kepada masyarakat.- DagangNews.com





