amree30/10/2026 - 12:20 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt — Malaysia berpotensi muncul sebagai hab pemprosesan nadir bumi serantau menerusi rancangan pelaburan AS$600 juta (kira-kira RM2.431 bilion) oleh syarikat pemula milik majoriti warga Amerika Syarikat (AS), DTEC Mineral and Metal Technology Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Milan Perlly dilaporkan Bloomberg berkata, ia bakal membangunkan kilang penapisan nadir bumi dengan kemudahan tersebut dijangka dibangunkan dalam tempoh tiga tahun sebagai sebahagian usaha mewujudkan sumber baharu mineral kritikal di luar China.
Projek itu turut menyokong usaha Malaysia dan AS membangunkan rantaian bekalan nadir bumi alternatif, memandangkan mineral berkenaan merupakan bahan penting dalam pengeluaran kenderaan elektrik, elektronik, turbin angin serta teknologi pertahanan canggih.
"Kilang pertama DTEC Mineral dirancang mempunyai kapasiti pemprosesan 5,000 tan metrik bahan nadir bumi setahun, dengan syarikat menyasarkan pembangunan dua lagi kemudahan di Malaysia yang akan memiliki kapasiti gabungan 10,000 tan setahun," jelas beliau.
Ujar Perlly, syarikat itu menyasarkan sebuah kilang dibangunkan di Pantai Timur dan satu lagi di Pantai Barat, dengan beberapa lokasi berpotensi dipertimbangkan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa di Kedah, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan.
Syarikat itu juga berhasrat membangunkan sumber deposit tanah liat ionik tempatan dan mengendali operasi perlombongan sendiri di Malaysia yang memudahkan proses pengekstrakan kerana unsur nadir bumi terikat secara longgar pada tanah liat, berbanding deposit batuan keras.

Malaysia tambah beliau, dianggarkan mempunyai sumber nadir bumi mencecah sebanyak 16.1 juta tan berdasarkan kepada anggaran kerajaan, namun sebahagian besar sumber itu masih lagi belum dapat dibuktikan mempunyai daya maju industri secara komersial.
"DTEC Mineral baru-baru ini menjadi syarikat pertama memperoleh kebenaran di bawah peraturan eksport Malaysia yang dilonggarkan kerajaan untuk menghantar bahan nadir bumi mentah ke AS. Kami merancang menghantar 30 tan bagi tujuan penyelidikan," kata Perlly.
Kumpulan itu mendapat kelulusan eksport sehingga 700 tan, dan penghantaran tersebut bertujuan mengenal pasti komposisi bahan nadir bumi tempatan serta teknologi pemprosesan paling sesuai sebelum pembangunan kemudahan berskala komersial dilaksanakan.
DTEC Mineral dimiliki 51% oleh Perlly dan rakan niaganya, David Greer, manakala baki 49% dipegang syarikat Malaysia, DTEC Engineering and Construction. Perlly yang dilahirkan di Malaysia sebelum menjadi warga AS itu pernah bekerja di Capital One.
Syarikat berkenaan turut berhasrat disenaraikan di Bursa Malaysia serta sama ada Nasdaq atau Bursa Saham New York. Ia juga merupakan sebahagian daripada perjanjian perdagangan serta mineral kritikal yang dimeterai AS dan Malaysia pada tahun lalu.
Usaha berkenaan sekali gus melayakkannya memohon pembiayaan daripada Export-Import Bank of the United States, US International Development Finance Corporation dan Jabatan Pertahanan AS sendiri. - DagangNews.com






