'Dah boleh minta YB ADUN sediakan kad laporan' - Aktivis politik

LocalPolitics
19 Jun 2026 • 3:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Dah boleh minta YB ADUN sediakan kad laporan' - Aktivis politik
Hantaran Facebook Liyana pada Jumaat.

SHAH ALAM - Pengundi disaran menuntut setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyediakan kad laporan prestasi bagi membolehkan rakyat menilai tahap perkhidmatan serta keberkesanan sepanjang memegang jawatan tersebut.

Aktivis politik dan bekas Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Liyana Marzuki berkata, amalan itu penting bagi meningkatkan budaya akauntabiliti dalam kalangan pemimpin politik, khususnya menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Menurutnya, rakyat berhak mengetahui secara terperinci mengenai peruntukan yang diterima oleh wakil rakyat dibelanjakan dan sejauh mana manfaatnya kepada penduduk di kawasan masing-masing.

"Untuk PRN ini, dah boleh minta YB ADUN anda sediakan kad laporan. Laporan apa yang dibelanja, ke mana pergi dana?

"Laporan hadir DUN dan apa isu yang dibawa untuk kawasan, apa solusi yang diberi? Dah 2026 ni kita nak politik khidmat dan prestasi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Pada 12 Jun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dibuat secara berasingan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari pengundian bagi PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai.

Manakala, tarikh pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pula ditetapkan pada 1 Ogos.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum itu mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Selang beberapa hari, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pula mengumumkan pembubaran DUN Negeri Sembilan berkuat kuasa pada Jumaat, 5 Jun.