
Lima penghantar makanan didakwa di mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki yang diikat dan dipukul selepas kemalangan sehingga videonya tular, minggu lalu.
Mereka ialah Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43, dan Syamsul Qamar Ayob, 40.
Abang sulung mangsa, Shahril Samad iaitu Shah Rizad Samad yang hadir di mahkamah berkata, tiada sesiapa berhak memukul adiknya hingga maut walaupun mangsa ada kisah silamnya dan sepatutnya kejadian itu diselesaikan dengan polis.
Artikel berkaitan: Polis Sahkan Lelaki Dipukul Hingga Maut Positif Dadah, Ada 10 Rekod Bahan Terlarang
Artikel berkaitan: Bapa Mangsa Dipukul Beramai-ramai Tak Sanggup Lihat Video Kejadian, Harap Pelaku Terima Hukuman

“Sudah ikat (mangsa), kenapa nak pukul lagi? Diikat bagaimana nak lindungi dirinya? Kami hadir ke mahkamah nak tengok muka tertuduh dengan jelas.
“Kami tak mengenali tertuduh, sebelum ini tak dapat tengok muka tertuduh. Kes ini tular dan kami tahu mengenai pertuduhan daripada media.
“Ibu bapa tak sanggup datang mahkamah, selain keluarga akan melihat keperluan melantik peguam pemerhati dalam kes ini. Kami geram tetapi nak buat macam mana? Keluarga akan mengikuti setiap perkembangan kes,” katanya.
Shah Rizad yang datang bersama-sama adik-beradik lain berharap agar hukuman setimpal dikenakan selepas menyebabkan kematian adiknya, yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik.
“Kami tak harap banyak cuma dapat diselesaikan dengan segera. Mana-mana yang terlibat, moga hukuman setimpal dikenakan.
“Kami adik-beradik tidak boleh nak buat apa, bukan bidang kuasa kita untuk menentu mereka bersalah atau tidak termasuklah hukuman mereka,” katanya dalam nada sebak.
Katanya lagi, adiknya itu seorang yang pendiam dan tidak pernah bermusuh dengan keluarga. Tambahnya, kejadian itu memberi kesan kepada orang luar apabila ramai yang hadir ketika pengebumian adiknya.
Sumber: Berita Harian
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.
