DAMANSARA - "Kami dah lama buat aduan mengenai pokok besar dan pergerakan tanah, tetapi tiada tindakan serius diambil," itu luahan penduduk yang mahu dikenali sebagai Julia, 46, selepas kejadian pokok tumbang di Damansara Damai di sini pada petang Jumaat.
Julia yang menetap di Armanee Condominium berkata, kejadian ribut kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan pokok besar dari kawasan berhampiran tumbang dan menghempap kira-kira tiga hingga empat kenderaan di Blok B kondominium berkenaan.
Menurutnya, kondominium yang bersebelahan kawasan hutan simpan berdekatan menyebabkan penduduk sebelum ini bimbang dengan keadaan pokok besar serta pergerakan tanah di kawasan berkenaan.
"Kami pernah buat aduan kepada pihak pengurusan dan MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) mengenai keadaan tanah yang bergerak serta pokok-pokok besar dan tinggi di kawasan itu.
"Kami sudah jangka perkara seperti ini boleh berlaku, tetapi apabila aduan dibuat, kami rasa ia tidak dipandang serius," katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, media melaporkan, beberapa buah kenderaan mengalami kerosakan selepas dihempap puluhan pokok tumbang susulan kejadian ribut petir di sekitar Damansara pada Jumaat.
Julia berkata, keadaan pokok yang tumbang itu berdasarkan pemerhatian penduduk dipercayai berpunca daripada pergerakan tanah di kawasan berkenaan.
Katanya, penduduk kecewa kerana tindakan susulan didakwa tidak dibuat walaupun aduan mengenai keadaan kawasan terbabit pernah dikemukakan.
"Kami bukan tunggu sampai berlaku kejadian baru nak ambil tindakan. Sebelum ini pun sudah ada tanda-tanda dan kami sudah maklumkan.
"Bila dah berlaku macam ini, baru semua orang nampak risikonya," ujar beliau.
Dalam pada itu, Julia turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa tempatan dalam menangani aduan berkaitan kerosakan dan kejadian ribut di kawasan berkenaan.
"Cukai pintu rumah saya RM1,044 setahun, sudah tentu kita harap apabila ada masalah seperti ini tindakan susulan juga cepat.
"Kami cuma mahu tindakan segera pihak berwajib bagi memastikan kawasan kediaman kami lebih selamat,” katanya.



![[VIDEO] NKVE sesak, pokok tumbang halang laluan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-25-at-17.51.07-1024x576.jpeg)

