‘Hanya beberapa saat pisahkan kami daripada maut’

13 Sep 2026 • 6:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Hanya beberapa saat pisahkan kami daripada maut’

KANGAR – “Saya sekeluarga nyaris maut dihempap pokok tumbang itu, namun Allah jaga dan lindung kami. Hanya beberapa saat memisahkan kami daripada maut.”

Demikian kata peniaga, Ros Ayu Ismail, 37, yang melalui detik cemas apabila Perodua Alza yang diletakkan di petak parkir di Taman Sena, di sini semalam remuk dihempap pokok tumbang.

Menurutnya, kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu berlaku ketika dia dan suaminya, Nazrin Ridwan Saad, 42, sedang memasukkan barangan niaga yang baru dibeli dari sebuah kedai borong ke dalam bonet, manakala dua anak mereka berada di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) berkenaan.

“Semasa saya mahu berjalan menuju ke pintu kereta, tiba-tiba hati saya terdetik nak tanya suami tentang barang yang dibeli sudah cukup atau tidak. Saya berhenti dan beralih sebentar ke arah suami.

“Waktu itulah pokok tumbang menghempap kereta. Saya tidak nampak pokok itu tumbang dan tidak dengar sebarang bunyi sebelum kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Image from: ‘Hanya beberapa saat pisahkan kami daripada maut’
KEADAAN Perodua Alza yang remuk akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Taman Sena, Kangar semalam.

Menurut Ros Ayu, anak lelakinya, Uwais Zayyan, 6, turut terselamat apabila secara kebetulan beralih dari tempat duduk di bahagian tengah hadapan ke belakang selepas suaminya menghulurkan coklat kepadanya.

“Anak perempuan saya, Nur Iffat Zuleykha, 9, pula memang berada di tempat duduk belakang ketika kejadian.

“Sebaik sahaja pokok tumbang atas kereta, saya terus menjerit kerana dua anak ada dalam kereta dan cuba tarik pintu. Waktu itu saya terus fikir perkara paling buruk berlaku kerana anak lelaki biasanya duduk di bahagian tengah hadapan.

“Saya sudah terbayangkan darah dan perlu kuat untuk tengok keadaan anak-anak dalam kereta kerana bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan remuk.

“Allah sahaja yang tahu betapa bersyukurnya saya apabila melihat dua anak saya selamat kerana mereka berada di belakang,” ujarnya.

Katanya, kedua-dua anaknya kemudian dikeluarkan menerusi but dengan bantuan orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan sehingga saat ini saya masih terbayang-bayang batang pokok itu, malah bunyi kaca pecah masih terngiang-ngiang. Saya masih trauma dengan kejadian itu. Anak-anak pula menangis sekejap selepas kejadian dan sekarang mereka sudah okay,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ros Ayu berkata, kereta berkenaan yang masih dalam pembiayaan pinjaman mengalami kerosakan teruk dan akan dihantar ke bengkel untuk pemeriksaan lanjut.

Kosmo! semalam melaporkan dua kanak-kanak terselamat selepas Perodua Alza yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang berhampiran Dataran Sena, di sini, petang semalam. Turut dihempap ialah sebuah Perodua Ativa. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Hanya beberapa saat pisahkan kami daripada maut’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved