‘Dah terbeli, nak buat macam mana?’ – Ain Edruce terkedu tiket F1 RM8,000

9 Oct 2026 • 10:33 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Dah terbeli, nak buat macam mana?’ – Ain Edruce terkedu tiket F1 RM8,000

PETALING JAYA – Pengacara, Ain Edruce mengakui kesilapan sendiri apabila tidak menyemak harga sebenar sebelum membeli dua tiket perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain pada kadar RM8,000, baru-baru ini

Ain atau nama sebenarnya Nurul Ain Edruce, 35, berkata, dia hanya menyedari tertipu selepas mendapati kadar dikenakan kepadanya empat kali ganda lebih mahal berbanding harga pasaran atau menerusi penjual lain untuk tempat duduk yang sama.

“Saya kena scam (tipu) tetapi saya memang dapat tiket itu, cuma harganya melampau, RM8,000 untuk dua orang, manakala kemasukan sehari sahaja.

“Orang lain beli tiket (tempat) sama RM2,000 sahaja untuk seorang dengan kemasukan (ke venue acara) tiga hari berturut-turut.

“Konon-konon nak buat kejutan untuk suami. Kita pula tak tahu fasal sukan permotoran. Dah terbeli, nak buat macam manakan?” katanya selepas pengumuman konsert Cuckootopia dan AMT2026, semalam.

Menurut pengacara Melodi itu, pembelian daripada pihak ketiga di satu laman web dilakukan tanpa membuat semakan kerana yakin harganya berbaloi.

Tambahan pula Ain ingin membuat kejutan untuk suaminya, Amirul Hafiz yang membuatkannya ingin menyegerakan urusniaga itu tanpa membuat perbandingan harga di laman lain.

“Waktu itu saya sedang berurut, nak tenang-tenang dan malas fikir. Jadi, saya buka sahaja satu laman web ini dan terus beli.

“Waktu itu saya tengok harga RM8,000 itu macam tidak mahal sangat, tetapi tidak juga murah. Cuma saya bayangkan tempat duduk itu mesti bagus, jadi saya belilah,” ujarnya.

Begitupun, keterujaannya bertukar menjadi rasa kesal selepas menyedari ramai orang menjual semula tiket perlumbaan tersebut pada harga jauh lebih rendah di hari perlumbaan.

“Mula-mula memang gembira bila dapat beli tiket, tetap ramai sahaja orang jual semula dengan harga lebih murah.

“Bila tengok orang beratur panjang nak naik bas ulang-alik, terfikir juga nak jual tiket itu, tetapi siapa nak beli pada harga RM8,000?

“Akhirnya saya dan suami pergi juga. Ada orang tegur, ‘ini yang beli tiket RM8,000 itu kan, kenapa duduk sini?’ Saya tahulah tiket itu harga melampau,” katanya.

Terdahulu, pada 1 Oktober lalu, Ain berkongsi video memaparkan reaksi Amirul ketika menerima kejutan tiket perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang.

Begitupun, kejutan yang dirancang demi menggembirakan suami itu menjadi pengalaman pahit buat Ain selepas menyedari dia membayar berkali ganda daripada harga pasaran. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Dah terbeli, nak buat macam mana?’ – Ain Edruce terkedu tiket F1 RM8,000 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved