
Pelakon Daiyan Trisha,32, hari ini tampil mendedahkan bahawa dia telah mengambil tindakan drastik membatalkan kontrak dengan beberapa jenama antabangsa pro Israel.
Daiyan yang membuka mulut kepada portal Mstar menjelaskan, tindakan itu dibuat setelah mengambil kira teguran orang ramai sejak kempen Blockout2024 bermula hujung minggu lalu.
"Saya ingin maklumkan saya sudah membatalkan kontrak dengan beberapa jenama yang saya bekerjasama.
"Saya terima segala teguran, dan saya ambil serius tentang isu ini dan ini adalah tindakan dan menunjukkan pendirian berterusan saya," ujarnya kepada portal terbabit.
Bagaimanapun, pelakon siri High Council ini enggan mendedahkan kerugian dan penalti yang harus ditanggung oleh pihaknya memandangkan ia melibatkan jenama yang berbeza.

Awal minggu lalu, Daiyan menerusi Instagram Story (IGS) tampil ‘membela diri’ apabila namanya turut tersenarai dalam kempen Blockout2024.
Pada perkongsian yang dilakukan secara berturut-turut itu, Daiyan Trisha memuat naik resit-resit yang menunjukkan sumbangannya kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestine.
Setiap resit yang setiap satunya berjumlah RM25,000 itu disalurkan kepada Mercy Malaysia, Global Peace Mission Malaysia, Persatuan Cinta Gaza Malaysia dan Viva Palestina Malaysia.
Dalam masa yang sama, Daiyan juga menegaskan bahawa setiap orang punya cara masing-masing dan dia sama sekali tidak pernah melupakan saudara Islam di Palestine, malah dia juga meminta maaf jika cara dibuatnya tidak seperti yang dimahukan oleh orang lain. - Getaran, 16 Mei 2024
Foto : Instagram



