KUALA LUMPUR - Selepas kejutan peletakan jawatan semalam, bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sekali lagi tampil ‘menghangatkan’ suasana apabila membuat laporan polis.
Laporan polis itu dibuat ke atas ahli perniagaan, Datuk Albert Tei di Balai Polis Sandakan, Sabah pada jam 5.05 petang tadi.
Shamsul berkata, Tei telah membuat tohmahan dan fitnah, kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan untuk rakaman dibuat ke atas beberapa ahli politik Sabah.

Katanya, fitnah tersebut jelas satu konspirasi jahat untuk memburukkan imej Anwar.
“Ini adalah usaha terancang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, apatah lagi di musim kempen pilihan raya Sabah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Jelas bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, beliau tidak akan membiarkan mana-mana individu menggunakan nama atau jawatannya sebelum ini untuk menjatuhkan kerajaan atau mencemarkan nama baik Perdana Menteri.
“Saya yakin pihak PDRM akan memulakan siasatan segera, dan sedia memberi kerjasama bagi siasatan oleh mana-mana badan penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.
Terdahulu, Anwar dalam satu kenyataan ringkas berkata, SPRM bebas menjalankan siasatan ke atas Shamsul secara terbuka.
Katanya, kerajaan berpegang teguh kepada prinsip ketelusan serta integriti, dan sentiasa memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang. - Getaran, 26 November 2025
