SHAH ALAM – Dakwaan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun bahawa dia bertindak menikam rakan sekolahnya kerana menjadi mangsa buli masih belum dapat disahkan apabila siasatan awal polis setakat ini tidak menemukan sebarang bukti yang menyokong dakwaan tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, alasan yang diberikan suspek lebih menjurus kepada perasaan tidak puas hati dan memendam perasaan terhadap beberapa rakan sekolah, namun siasatan masih diteruskan bagi merungkai motif sebenar kejadian.
“Hasil siasatan awal peringkat ini, kita mendapati alasan diberikan adalah berkaitan dengan rasa tidak puas hati ataupun boleh dikatakan memendam perasaan suspek terhadap beberapa individu rakan sekolahnya yang dikatakan membuli suspek tersebut.
“Namun, hasil daripada keterangan-keterangan yang diberi tidak menjurus kepada berlakunya aktiviti buli tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Menurut beliau, polis meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai sepenuhnya.
“Jadi saya minta beri ruang kepada pegawai penyiasat membuat siasatan sepenuhnya dan dapat membuat kesimpulan secara menyeluruh,” katanya.
Shazeli memaklumkan, polis turut mengambil keterangan daripada ramai saksi termasuk 10 pelajar yang namanya tular di media sosial selepas dikaitkan dengan insiden berkenaan.
“Rakaman percakapan telah diambil daripada ramai saksi, namun saya tidak dapat mendedahkan jumlahnya.
“Semua individu termasuk nama-nama yang tular dalam senarai itu telah dipanggil dan diambil keterangan,” katanya.
Mengulas keadaan mangsa, beliau berkata, pelajar perempuan yang cedera dalam kejadian itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih menjalani rawatan serta proses pemulihan di hospital.
“Temu bual terhadap mangsa juga telah dijalankan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, polis turut meneliti kemungkinan pengaruh kandungan media sosial terhadap tindakan suspek, namun siasatan berhubung perkara itu masih di peringkat awal.
“Apa jenis video media sosial itu saya tidak boleh kongsikan kerana masih lagi dalam siasatan dari polis,” jelasnya.
Sebelum ini, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun cedera parah selepas dipercayai ditikam sebanyak 16 kali menggunakan sebilah pisau oleh rakan sekolahnya di kantin sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat ketika waktu rehat pada Isnin.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk paru-paru dan kini masih menerima rawatan di hospital.
Suspek pula direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.






