
KUALA LUMPUR – Pelakon, Datin Intan Najuwa mendedahkan dirinya menjadi mangsa gangguan siber selepas seorang lelaki menggunakan akaun palsu di platform Threads untuk menyerangnya dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads hari ini, Intan atau nama sebenarnya Intan Najuwa Abdul Hamid, 29, meminta orang ramai agar tidak melayan akaun individu berkenaan.
Menurutnya, tindakan lelaki tersebut sejak beberapa bulan lalu disifatkan melampaui batas.
“Semua tak perlu layan orang yang kurang siuman itu di Threads, saya sudah membuat laporan polis dan individu di sebalik akaun tersebut sebenarnya adalah seorang lelaki.
“Dia sudah mengganggu saya selama berbulan-bulan,” katanya.
Intan berkata, laporan polis dibuat kerana gangguan berkenaan bukan sahaja berlaku di media sosial, malah lelaki terbabit turut bertindak menghubungi pejabatnya hampir setiap hari.
“Perkara ini berlaku hampir setiap hari. Jadi saya memutuskan untuk membiarkan pihak berkuasa mengendalikan kes ini sekarang,” katanya.
Terdahulu, seorang individu menggunakan akaun palsu di Threads mendakwa Intan sering menyusahkan suaminya dengan pelbagai permintaan mewah selain turut melemparkan kata-kata kesat terhadap lelaki tersebut. -MYBERITA



