
PETALING JAYA – Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia (MMN) menafikan dakwaan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengutamakan atau mengambil calon daripada golongan ‘budak kelas belakang’ untuk menyertai profesion kejururawatan.
Pengerusinya, Muhammad Julihan Kamari berkata, dakwaan yang tular di media sosial itu bukan sahaja tidak benar dan mengelirukan, malah boleh menjatuhkan maruah profesion kejururawatan di negara ini.
Menurutnya, tanggapan bahawa bidang kejururawatan dipenuhi individu kurang cemerlang dalam akademik juga tidak menggambarkan realiti sebenar profesion berkenaan.
“Ramai jururawat hari ini termasuk jururawat lelaki bukan sahaja memegang Diploma Kejururawatan, malah menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana (Master), hingga ke Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai kepakaran dalam kejururawatan.
“Pengambilan bakal jururawat melalui SPA mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) dipandu oleh piawaian ketat yang ditetapkan oleh Lembaga Jururawat Malaysia (LJM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA),” katanya dalam kenyataan.
Muhammad Julihan berkata, proses pengambilan calon juga tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya melibatkan ujian psikometrik serta sesi temu duga berstruktur.
Katanya, proses berkenaan penting bagi menilai sahsiah, ketahanan mental, empati serta minat mendalam seseorang calon terhadap bidang kejururawatan.
“Profesion kejururawatan menuntut pembelajaran teori yang mencabar serta latihan klinikal beratus-ratus jam sebelum seseorang jururawat diiktiraf dan didaftarkan di bawah Lembaga Jururawat Malaysia.
“Dakwaan bahawa profesion ini boleh diceburi secara ‘mudah’ atau tanpa kualiti akademik adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya tidak membuat andaian melulu atau memperlekehkan profesion kejururawatan hanya berdasarkan kedudukan kelas seseorang ketika di bangku sekolah.
Tegasnya, prestasi dan sumbangan seseorang jururawat sewajarnya dinilai berdasarkan dedikasi, kemahiran serta kelayakan ikhtisas mereka dalam menjalankan tanggungjawab merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit.
Pada masa sama, Muhammad Julihan menasihatkan pengguna media sosial supaya lebih bertanggungjawab dan menghentikan penyebaran naratif negatif yang boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap sistem perkhidmatan kesihatan negara.- KOSMO! ONLINE
The post Dakwa jururawat ‘budak kelas belakang’ tidak benar, jatuhkan maruah profesion – MMN appeared first on Kosmo Online.

