Pendekkan tempoh naik gred jururawat kepada 10 tahun

LocalPolitics
14 Oct 2026 • 7:20 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pendekkan tempoh naik gred jururawat kepada 10 tahun

PETALING JAYA: Tempoh kenaikan gred jururawat perlu dipendekkan daripada 13 tahun kepada 10 tahun supaya golongan tersebut tidak perlu menunggu terlalu lama untuk dinaik­kan pangkat.

Pengerusi Persatuan Jurura­wat Lelaki Malaysia, Muhammad Julihan Kamari berkata, penambahbaikan itu perlu di­sertai peluang kenaikan pangkat bagi jururawat tidak berijazah supaya pengalaman dan pencapaian mereka turut dihargai.

Beliau berkata, kenaikan gred juga perlu mengambil kira pencapaian jururawat dan bukan dinilai hanya berdasarkan tempoh perkhidmatan.

“Tempoh menunggu 13 tahun untuk kenaikan gred terlalu lama. Kami mencadangkan tempoh itu dipendekkan kepada 10 tahun.

“Jururawat yang dinaikkan ke gred U9 juga perlu diberi pilihan untuk kekal dalam bidang klinikal kerana ada yang mahu terus memberikan penjagaan kepada pesakit, selain memasuki bidang pengurusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Muhammad Julihan, kewujudan gred U8/U38 bagi kenaikan pangkat secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan kali ketiga (TBK 3) perlu dipertimbangkan untuk jururawat tidak berijazah.

“Melalui TBK 3, jururawat tidak berijazah mempunyai peluang untuk terus naik pangkat. Langkah ini dapat menggalakkan jururawat berpengalaman kekal dalam perkhidmatan dan menjadi mentor kepada jururawat baharu,” katanya.

Pada 11 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan, Kementerian Kesihatan meningkatkan elaun pos basik jururawat daripada RM100 kepada RM200 sebulan sebagai usaha memperkukuh kebajikan dan mengekalkan te­naga kejururawatan dalam perkhidmatan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian memberi tumpuan kepada dua pendekatan utama, iaitu mempercepat pengambilan jururawat baharu dan memperkukuh pengekalan jururawat sedia ada.

Mengulas lanjut, Muhammad Julihan berkata, gaji dan elaun jururawat juga perlu ditambah baik supaya sepadan dengan beban tugas yang semakin me­ningkat.

Menurutnya, antara cadangan ialah meningkatkan kenaikan gaji tahunan daripada RM145 kepada RM180 serta memperluas Elaun Tibi kepada Elaun Penyakit Berjangkit untuk semua unit.

Katanya, penambahan tenaga kerja dan naik taraf fasiliti, termasuk penyediaan katil automatik, turut diperlukan bagi mengurangkan beban jururawat yang menjaga terlalu ramai pesakit.

Beliau berkata, atendan hospital juga perlu dilatih untuk membantu melakukan kerja asas supaya tugas mereka tidak terhad kepada urusan logistik.

Dalam masa sama, katanya, jururawat lelaki dan wanita perlu diberikan peluang kemajuan kerjaya yang sama, termasuk untuk menjadi Pengarah Kejururawatan (DON).

“Jururawat perlu mempunyai suara dalam keputusan yang melibatkan mereka, bekerja dalam persekitaran yang sihat serta mendapat pengiktirafan terhadap kepakaran mereka,” katanya. – UTUSAN 

The post Pendekkan tempoh naik gred jururawat kepada 10 tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved