Dakwaan 3 Pemimpin PN Tak Hadir Soal Jawab PM Tidak Berasas

Politics
14 Feb 2023 • 8:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mohd Radzi Md Jidin menegaskan, beliau melihat sendiri Muhyiddin Yassin, Abdul Hadi Awang dan Hamzah Zainudin, hadir pada pagi persidangan - Gambar Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR - Dakwaan tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) tidak hadir pada sesi Soal Jawab Perdana Menteri ketika Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 pagi ini, tidak berasas. 

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin menegaskan, beliau melihat sendiri pemimpin berkenaan, iaitu Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, hadir pada pagi persidangan. 

“Saya berada sebaris dengan mereka di dalam Dewan Rakyat dan melihat sendiri bahawa mereka hadir pagi tadi. 

“Mudah sebenarnya nak buat cerita daripada sekeping gambar dalam Dewan Rakyat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mohd Radzi turut memuat naik gambar dirakamkan beliau di blok menteri dan timbalan menteri pada jam 4.16 petang ketika Ketua Pembangkang sedang berbahas.

Gambar tersebut menunjukkan tempat duduk tersebut lengang.

Terdahulu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung menerusi tulisan di Facebook mendakwa sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini, tidak dihadiri Muhyiddin, Abdul Hadi dan Hamzah.

“Selamat pagi dari Parlimen! Hari ini menyaksikan Soal Jawab Perdana Menteri. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini akan meluangkan masa setengah jam setiap Selasa untuk menjawab soalan Ahli Parlimen dalam dewan. Reformasi!

“Tetapi adalah menyedihkan, kerusi di sebelah pembangkang kosong. Mereka, antara lain ialah Hamzah, Muhyiddin dan Abdul Hadi,” katanya.

Chean Chung yang juga Pengarah Komunikasi PKR, turut melontarkan persoalan sama ada mereka yang tidak hadir itu lebih sibuk berbanding Perdana Menteri.

“PN ponteng. Adakah mereka lebih sibuk daripada Perdana Menteri untuk berada di Parlimen?” soalnya. - Getaran, 14 Februari 2023