
Kota Kinabalu: Bapa allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner pada Isnin bahawa beliau dimaklumkan polis mengenai dakwaan ibu Zara, Noraidah Lamat pernah membuat laporan polis terhadapnya berkaitan ancaman bunuh.
Mahathir Mohd Hashim @ Marikin, 45, berkata beliau mengetahui mengenai dakwaan laporan polis itu selepas bertanya kepada polis mengapa beliau diajukan soalan yang dianggap pelik ketika keterangannya direkodkan.
Menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, Mahathir berkata ketika keterangannya direkodkan bagi membantu siasatan kes berkenaan beliau ditanya antaranya mengenai bagaimana beliau pernah memukul Zara.
“Saya rasa pelik, siasatan itu mengenai bagaimana saya memukul Zara, cara saya memukul Zara dan bagaimana saya menyeksanya, itu yang saya masih ingat.
“Jika berkaitan masalah Zara di sekolah, polis hanya mengatakan dia jatuh dan masih dalam siasatan,” katanya.
Mahathir yang merupakan saksi ke-80 berkata beliau berasa pelik kerana menyangka soalan yang akan diajukan kepadanya berkaitan kejadian yang menimpa Zara di sekolah. Shahlan menyatakan rasa terkejut selepas mendengar keterangan berkenaan.
Mahathir berkata beliau dipanggil ke balai polis sebanyak dua kali iaitu kali pertama bagi tujuan penyitaan telefon bimbit dan kali kedua untuk siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Menjawab soalan Shahlan, saksi itu berkata ketika polis mengemukakan soalan berkenaan semasa siasatan, beliau menjelaskan bahawa beliau “tidak pernah mencubit telinga Zara sekalipun”.
Katanya beliau berasa pelik apabila ditanya soalan sedemikian kerana menyangka dirinya akan ditanya mengenai apa yang berlaku terhadap Zara di sekolah.
Menjawab soalan peguam Prem Elmer Ganasan, Mahathir berkata dakwaan mengenai ancaman bunuh itu sudah keterlaluan namun beliau tidak menafikan pernah menghadapi masalah rumah tangga dengan Noraidah.
Prosiding inkues akan bersambung pada 8 September.





