Kali terakhir lihat anak pada 2017: Bapa Zara

8 Sep 2026 • 4:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kali terakhir lihat anak pada 2017: Bapa Zara

Kota Kinabalu: Bapa allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa kali terakhir beliau melihat anaknya itu adalah sekitar 2017 di Sipitang.

Saksi ke-80, Mahathir Mohd Hashim @ Marikin, 45, berkata sejak sekitar 2017, beliau tidak lagi tinggal bersama atau kembali ke Sipitang untuk bersama Zara dan ibunya berikutan perselisihan faham antara beliau dengan ibu Zara.

“Kali terakhir saya melihat Zara adalah sekitar 2017 di Sipitang,” katanya ketika membacakan kenyataan bertulis di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Mahathir berkata selepas tidak lagi tinggal bersama Zara dan ibunya, beliau hanya berhubung dengan anaknya menerusi panggilan telefon dan mesej WhatsApp.

Sebelum itu Mahathir memberitahu mahkamah bahawa perkahwinannya dengan ibu Zara, Noraidah Lamat adalah perkahwinan keduanya dan Zara ialah anak hasil perkahwinan mereka.

Katanya beliau memanggil Zara dengan panggilan “Baby Zara” manakala Zara memanggilnya “Babah”.

Sebelum berkahwin dengan Noraidah, Mahathir pernah berkahwin dengan isteri pertama namun perkahwinan itu berakhir dengan perceraian.

Mahathir berkata beliau mula bekerja di Kota Kinabalu pada pertengahan 2015 dan disebabkan tuntutan pekerjaan, menyewa sebuah bilik di Kota Kinabalu selepas tidak lagi tinggal bersama Zara dan ibunya di Sipitang.

“Bagaimanapun saya masih pulang ke Sipitang untuk melihat Zara dan ibunya sekali atau dua kali sebulan, mengambil kira kekangan kewangan dan ketidakmampuan saya untuk berulang-alik ke Sipitang setiap minggu.

“Ibu Zara yang sepenuhnya menjaga dan membesarkan Zara,” katanya.

Menurut Mahathir berdasarkan pemerhatiannya ketika masih tinggal bersama mereka, Zara merupakan seorang kanak-kanak yang ceria serta gemar ke pantai dan laut.

Katanya Zara sering memintanya membawa ke pantai setiap kali beliau pulang ke rumah.

Mahathir turut pernah membawa Zara dan ibunya bercuti di sebuah pusat peranginan di Tuaran apabila mempunyai lebihan wang untuk bercuti dan meluangkan masa bersama.

“Zara juga tidak menunjukkan sebarang tanda atau keadaan yang menimbulkan kebimbangan kepada saya,” katanya.

Mahathir berkata beliau berada di Beaufort ketika menerima mesej WhatsApp daripada ibu Zara antara jam 8 pagi hingga 10 pagi pada 16 Julai 2025 yang memaklumkan Zara berada di jabatan kecemasan.

Katanya, ibu Zara turut menghantar gambar Zara sedang terbaring di atas katil di jabatan kecemasan namun ketika itu beliau tidak mengetahui Zara berada di hospital mana dan tidak mempunyai maklumat mengenai hospital berkenaan.

“Oleh itu selepas menerima mesej WhatsApp daripada ibu Zara, saya terus memaklumkan kepada bapa saya, Mohd Hashim @ Marikan Tuah dan meminta beliau mencari Zara di Hospital Sipitang,” katanya.

Mahathir berkata Hospital Sipitang menjadi lokasi pertama mereka mencari Zara kerana setakat pengetahuannya, anaknya itu tinggal bersama ibunya di Sipitang dan beliau sentiasa menyangka Zara bersekolah menengah di Sipitang.

Katanya beliau pernah pergi ke rumah mereka di Sipitang sebelum itu namun mendapati Zara dan ibunya sudah tidak lagi tinggal di situ.

“Saya juga beberapa kali bertanya kepada Zara ketika perbualan telefon sebelum ini mengenai tempat tinggal dan sekolahnya tetapi Zara tidak memberitahu saya.

“Oleh itu pada ketika itu saya menyangka Zara mungkin berada di Hospital Sipitang,” katanya.

Bagaimanapun selepas bapanya pergi ke Hospital Sipitang, Mahathir dimaklumkan bahawa Zara tidak berada di hospital berkenaan.

Beliau kemudian cuba mencari Zara di Hospital Beaufort namun kakitangan kaunter jabatan kecemasan memaklumkan Zara juga tidak berada di situ.

“Saya tidak ingat bagaimana saya mendapat maklumat bahawa Zara berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE) sama ada daripada ibu Zara atau berdasarkan andaian saya sendiri.

“Saya tidak ingat sama ada ibu Zara memberitahu saya atau tidak. Saya bergegas ke HQE selepas mengetahui Zara berada di hospital itu,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved