
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai dakwaan wujudnya ‘budaya Yeye’ atau aktiviti pelacuran yang dilakukan di kalangan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dalam kem tentera (mess).
Susulan penularan dakwaan itu, Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) memaklumkan memandang serius terhadap isu tersebut.
Oleh itu, satu arahan kepada pihak ATM telah dikeluarkan untuk melakukan siasatan dalaman secara segera mengenai kesahihan perkara itu dengan menyeluruh.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Tular Dakwaan ‘Budaya Yeye’ Di Kem Tentera, MINDEF Arah ATM Jalankan Siasatan Dalaman
Perbuatan tak bermoral boleh ancam keselamatan negara
Terbaharu penceramah bebas dan Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Mohd Kashim menjelaskan perbuatan seperti berfoya-foya, minum arak, kemaksiatan seperti zina adalah perkara yang bercanggah dengan agama selain tidak sesuai dengan budaya.
Bukan hanya itu, perkara terbabit juga dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara sekiranya aktiviti tidak bermoral tersebut berlaku dalam kem tentera.
Perkara yang tak baik boleh mendorong untuk ‘orang’ hilang fokus
Jelasnya lagi sebagai perajurit negara, ketakwaan kepada Allah adalah asas yang begitu penting dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Menurutnya perkara yang melalaikan itu juga boleh menyebabkan ‘orang’ hilang fokus kepada kerja yang akan mendorong untuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
“Pertama sekali kita kena faham bahawa ketenteraan merupakan sebahagian daripada kekuatan semua negara. Jadi dakwaan terhadap isu membawa benda-benda yang tidak sepatutnya dalam kem ataupun apa saja yang melibatkan ketenteraan adalah satu perkara yang tidak wajar dan bercanggah dengan asas Malaysia Madani.
“Arak, judi dan zina jelas-jelas haram di sisi agama dan ia boleh menyebabkan manusia lupa diri dan Allah.
“Jadi Islam minta untuk sentiasa bermuhasabah kerana individu-individu ini merupakan orang penting dalam mempertahankan negara. Bagaimana kita nak menghadapi musuh sedangkan diri sendiri menjadi musuh kepada Allah SWT,” katanya, lapor Sinar Harian.
Perbuatan tak bermoral tak seiring dengan konsep Malaysia Madani
Tambah beliau lagi, perbuatan yang tidak bermoral tersebut tidak seiring dengan konsep Malaysia Madani yang berpegang teguh terhadap pemerintahan Nabi Muhammad SAW.
“Jadi kalau kita buat maksiat, itu bukan konsep pemerintahan Nabi di Madinah. Sebenarnya Madani itu ialah kita nak jadikan Malaysia sebagai negara yang berkonsepkan pentadbiran Madinah Al-Munawarah di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW.
“Dari segi tatakelola, akhlak, hidup bermasyarakat dan membangunkan insani. Jadi tiba-tiba kita buat benda macam ini, ia satu lambang yang tidak bagus,”
Harap pihak MINDEF dalam lakukan siasatan telus dan terperinci & tindakan tegas diambil
Oleh itu, Dr Izhar Ariff berharap agar pihak MINDEF dapat menjalankan siasatan secara telus serta terperinci dan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang terbabit.
“Jadi saya setuju apabila pihak MINDEF telah mengarahkan siasatan. Saya harap ia dilakukan dengan telus supaya siapa yang terlibat, tidak kira berpangkat besar atau kecil, dikenakan tindakan.
“Ini kerana ia tidak wajar berlaku di Malaysia khususnya dalam pentadbiran Kerajaan Madani,” jelasnya lagi.


