
PUTRAJAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menempelak dakwaan kononnya berlaku campur tangan pihak luar dalam urusan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Ismail Lasim.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, dakwaan berkenaan tidak berasas kerana proses mengemukakan nama bagi jawatan tersebut sememangnya perlu melalui saluran rasmi termasuk melibatkan pimpinan tertinggi parti.
Menurutnya, sebagai Pengerusi BN, beliau mempunyai tanggungjawab untuk mengemukakan watikah serta cadangan nama kepada pihak istana bagi tujuan pelantikan.
“Saya tidak mahu melayani kenyanyukan seseorang yang tidak memahami realiti politik bahawa nama mesti dikemukakan kepada pihak istana dan sebagai Pengerusi Barisan Nasional tentunya saya perlu mengemukakan watikah dan juga cadangan nama.
“Kalau tugas saya sebagai Pengerusi Barisan Nasional di peringkat kebangsaan dianggap sebagai orang luar, ertinya kenyanyukan itu jelas terpancar daripada wajah orang yang mengatakannya begitu,” katanya.
Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Wawasan Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim yang mendakwa terdapat campur tangan pihak luar dalam pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Ahmad Zahid berkata, individu yang membuat dakwaan sedemikian sepatutnya memahami proses dan amalan politik yang diamalkan dalam parti serta kerajaan.
Katanya, pelantikan sesuatu jawatan politik tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.
Menurut beliau, setiap cadangan nama perlu melalui pertimbangan dan persetujuan kepimpinan parti sebelum dikemukakan kepada pihak berkenaan.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan yang dimainkan oleh kepimpinan pusat adalah sebahagian daripada tanggungjawab rasmi dan bukannya campur tangan seperti yang didakwa.
“Ini adalah proses biasa dalam sesebuah organisasi politik yang mempunyai struktur dan hierarki tertentu,” katanya.
Ahmad Zahid menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas dan berpunca daripada kegagalan sesetengah pihak memahami realiti serta proses politik yang sebenar.-UTUSAN
The post Dakwaan campur tangan lantikan MB Negeri Sembilan: Kenyanyukan jelas terpancar- Ahmad Zahid appeared first on Utusan Malaysia.






