SHAH ALAM - Mesej dan visual palsu yang tular dan mendakwa terdapat kenaikan tarif elektrik bermula April adalah tidak benar serta berpotensi mengelirukan orang ramai.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan pada Rabu menjelaskan, sebarang pelarasan kos elektrik pada masa ini tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang dilaksanakan dalam sektor tenaga sejak Julai 2025 lalu.
“Kadar AFA adalah berdasarkan perubahan harga bahan api global serta kadar pertukaran mata wang asing dan diselaraskan secara bulanan melalui pengesahan oleh pihak Suruhanjaya Tenaga (ST).
“TNB ingin menegaskan bahawa sebarang perubahan berkaitan kadar AFA akan diumumkan secara rasmi oleh TNB melalui saluran yang sah,” jelas TNB.
Menurut kenyataan itu lagi, TNB komited untuk memastikan pengguna menerima maklumat yang tepat dan telus.
Sehubungan itu TNB akan melaporkan penyebaran maklumat tidak benar ini kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan merujuk hanya kepada pengumuman rasmi daripada TNB.
“Selain itu, orang ramai juga perlu menyemak kesahihan kandungan sebelum berkongsi bagi mengelakkan kekeliruan.
“Sebarang pertanyaan atau maklumat yang meragukan boleh disalurkan melalui mesej peribadi (PM) di Facebook TNB Careline, mesej langsung (DM) ke X @Tenaga_Nasional atau e-mel ke CareLine@myTNB.my,” menurut TNB.
