Dakwaan kerajaan campur tangan siasatan FIFA ‘tidak benar’: Saifuddin

LocalPolitics
20 Nov 2025 • 12:54 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan campur tangan dalam krisis melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)-FIFA, sekali gus menolak kebimbangan sesetengan pemerhati sukan dalam isu berkenaan.

Bercakap kepada Scoop, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dakwaan bahawa kerajaan akan campur tangan dalam isu tersebut adalah 'tidak benar sama sekali'.

Beliau berkata demikian susulan kebimbangan yang disuarakan pengkritik sukan yang mengingatkan bahawa sebarang penglibatan kerajaan boleh mencetuskan akibat serius terhadap bola sepak Malaysia.

“Itu (dakwaan) langsung tidak benar. Bagaimana kerajaan boleh campur tangan dalam siasatan FIFA? Hal FIFA adalah urusan FAM, noktah,” katanya.

Beliau menambah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Saya telah dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan untuk meneliti perkara ini, dan KDN akan melaksanakan penelitian sewajarnya dalam bidang kuasa kami di sini, iaitu menyiasat sebarang isu berkaitan dokumen yang sah di bawah undang-undang Malaysia.

“FIFA mempunyai prosesnya sendiri, dan kerajaan tidak akan sekali-kali mempengaruhi keputusan mereka.

"Apa yang penting ialah kita memastikan semua pihak mematuhi undang-undang negara tanpa menjejaskan proses antarabangsa,” tambahnya.

Pada Rabu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan aspek kesalahan jenayah adalah di luar bidang kuasa kementeriannya dan perkara itu sudah pun diajukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Tindakan itu susulan arahan FIFA untuk memaklumkan pihak berkuasa di beberapa negara mengenai dakwaan salah laku melibatkan tujuh pemain warisan. Menurut Hannah, beliau telah menghubungi Saifuddin dan sedang menunggu perkembangan lanjut.

“Aspek jenayah berada di bawah bidang kuasa KDN. Saya telah menghubungi Menteri KDN (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), tetapi saya belum dapat lagi maklum balas sebab saya baru sahaja menghubungi beliau. Saya rasa kita harus memberi beliau masa untuk meneliti perkara ini juga,” katanya.

Kontroversi itu tercetus susulan dokumen yang dikemukakan bagi tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Pada 3 November, jawatankuasa rayuan FIFA mengekalkan hukuman terhadap FAM dan mengarahkan siasatan rasmi terhadap proses dalaman badan tersebut.

FAM dikenakan denda 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.9 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Swiss dan digantung selama 12 bulan.

FIFA menyatakan siasatan tersebut mesti meneliti peranan Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman dan dua ejen berlesen FIFA, Nicolas Puppo dan Frederico Moraes, dengan menyebut penglibatan mereka sebagai “kebimbangan serius yang memerlukan penelitian teliti.”

Badan induk dunia itu turut mengarahkan sekretariatnya memaklumkan pihak berkuasa di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia, sambil menekankan pemalsuan merupakan satu kesalahan jenayah.

Dalam pada itu, Hannah memberitahu beliau akan menjawab persoalan mengenai isu tersebut di Parlimen, hari ini.

“Saya tidak mahu mendahului melalui sidang media. Jadi, saya minta media untuk mengikuti penggulungan. Untuk aspek jenayah, itu adalah di bawah bidang kuasa KDN, jadi kita akan serahkan kepada KDN. – 20 November 2025

The post Dakwaan kerajaan campur tangan siasatan FIFA ‘tidak benar’: Saifuddin appeared first on Scoop.