
GEORGE TOWN : Dakwaan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini di ambang kejatuhan dan DAP akan hilang penguasaan terhadap Pulau Pinang hanyalah retorik yang sedang dimainkan oleh pembangkang ketika ini.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong berkata, oleh itu, beliau tidak mahu terlalu mengambil pusing akan dakwaan tersebut, sebaliknya, mahu menumpukan terhadap usaha mempertahankan negeri itu dalam pilihan raya yang akan datang.
“Ya, mereka (pembangkang) sedang menang ketika ini. Jadi, jawapan saya terhadap dakwaan itu ialah, biarkan mereka kekal dengan ‘keangkuhan’ mereka.
“Tetapi, kita, DAP Pulau Pinang dan Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang akan terus bekerja keras untuk menjaga dan mempertahankan negeri ini serta semua kerusi-kerusi DAP yang kita miliki. Itu jawapan saya,” katanya.
Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Makan Malam ‘Tanjong@40 – Kekal Teguh Pada Perjuangan’ di Penang Chinese Town Hall di sini, malam tadi.
Semalam, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan yang dimuat naik ke dalam laman Facebook berkata, Kerajaan PH kini sudah ‘berada di hujung tanduk’ dan hanya menunggu masa untuk jatuh sahaja.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Jika formula kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dapat dibawa ke medan pilihan raya umum atau PRU, maka, seluruh negeri di Semenanjung akan berjaya ditawan termasuklah Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Menteri yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menggesa semua ahli DAP memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan parti di peringkat pusat dan negeri ketika usaha untuk menilai semula strategi politik susulan keputusan PRN Negeri Sembilan itu sedang dilaksanakan.
Menurut beliau, sokongan itu penting bagi membolehkan parti berkenaan kekal mentadbir di peringkat negeri dan Persekutuan.-UTUSAN
The post ‘Dakwaan kerajaan PH di ambang kejatuhan hanya retorik pembangkang’ appeared first on Utusan Malaysia.






