
KUALA LUMPUR: Dakwaan mafia korporat, campur tangan politik dan salah laku membabitkan institusi penguatkuasaan yang dibangkitkan Datuk Seri Rafizi Ramli perlu mendapat penjelasan rasmi kerajaan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata, penjelasan itu penting bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan serta memastikan sebarang salah laku disiasat secara bebas dan berlandaskan undang-undang.
Katanya, tuduhan serius tanpa bukti kukuh boleh menjejaskan keyakinan pelabur, reputasi institusi negara serta kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.
“Kebebasan bersuara mesti disertai tanggungjawab terhadap fakta dan bukti. Tuduhan serius yang tidak disahkan boleh menjejaskan keyakinan pelabur, reputasi institusi negara dan kepercayaan rakyat.
“Justeru, kami menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan penjelasan rasmi terhadap tujuh perkara utama,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan beberapa dakwaan yang dibangkitkan Presiden Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Mengulas lanjut, Kurniawan berkata, pihaknya menyokong siasatan menyeluruh oleh pasukan petugas khas yang diketuai Peguam Negara berhubung dakwaan mafia korporat dan hubungan politik.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu melengkapkan siasatan berhubung dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, yang sebelum ini menafikan dakwaan berkenaan.
Selain itu, beliau meminta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia meneliti dakwaan campur tangan politik dalam urusan korporat NexG Berhad.
Beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan status siasatan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, tertakluk kepada peruntukan undang-undang.
“Sekiranya terdapat bukti salah laku, tindakan undang-undang mesti diambil tanpa mengira kedudukan individu terbabit.
“Sebaliknya, jika mana-mana tuduhan terbukti palsu atau berunsur fitnah, pihak yang terjejas berhak mendapatkan pembelaan melalui saluran perundangan yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN
The post Dakwaan mafia korporat perlu penjelasan rasmi di Parlimen appeared first on Utusan Malaysia.






