sarah16/11/2026 - 09:35 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov - YTL Power International Bhd (YTL Power) dilihat perlu memberikan penjelasan rasmi berhubung dakwaan yang mengaitkan operasi pusat data kecerdasan buatan (AI) miliknya di Johor dengan Megaspeed International dan syarikat teknologi China, Alibaba, bagi mengurangkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur.
MBSB Research berkata, dakwaan yang dibangkitkan oleh Culper Research itu telah menyebabkan YTL Power terpalit dalam kontroversi cip NVIDIA, walaupun setakat ini firma penyelidikan berkenaan belum mengenal pasti bukti yang boleh dipercayai mengaitkan syarikat itu dengan dakwaan pengalihan cip berteknologi tinggi ke China.
Menurut firma itu, Culper Research mendakwa Megaspeed International merupakan pelanggan utama pusat data YTL Power di Johor, manakala Alibaba didakwa sebagai pengguna akhir yang tidak didedahkan.
Bagaimanapun, MBSB Research menegaskan bahawa dakwaan terhadap NVIDIA dan Megaspeed perlu dibezakan daripada operasi YTL Power, memandangkan perniagaan utama syarikat itu menggunakan model penyewaan ruang pusat data dengan menyediakan kemudahan elektrik, penyejukan dan infrastruktur kepada pelanggan pihak ketiga.
Pusat data AI 20MW turut melibatkan pelanggan AS
MBSB Research berkata, bagi pusat data AI YTL Power berkapasiti 20 megawatt (MW) yang menggunakan cip NVIDIA Blackwell, sebahagian kapasiti difahamkan melibatkan pelanggan dari Amerika Syarikat (AS), manakala selebihnya digunakan untuk pembangunan model bahasa besar (LLM) dan penyelesaian AI syarikat sendiri.
Firma itu berpandangan bahawa penjelasan rasmi daripada YTL Power dapat membantu menangani ketidaktentuan pasaran, sambil menyifatkan tekanan jualan saham syarikat berkenaan sebagai keterlaluan dan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM5.98.
MITI belum sahkan Megaspeed bebas salah laku
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengesahkan Megaspeed atau anak syarikatnya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd, bebas daripada sebarang salah laku, sebaliknya pemeriksaan terdahulu merupakan sebahagian daripada pemantauan rutin.
MITI turut bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menentukan sama ada cip yang diimport ke negara ini telah dieksport semula serta memastikan pematuhan undang-undang, memandangkan eksport dan eksport semula cip berprestasi tinggi tertentu dari AS memerlukan permit sejak Julai 2025.
Sekatan baharu AS beri tumpuan kepada pengguna akhir
Sementara itu, MBSB Research berkata, cadangan peraturan baharu AS yang dijangka dimuktamadkan seawal November ini lebih tertumpu kepada usaha menghalang syarikat China daripada mengakses cip AI canggih melalui pusat data luar negara, bukannya melarang sepenuhnya penggunaan cip berkenaan di Malaysia.
Firma itu mengekalkan pandangan positif terhadap industri pusat data Malaysia, namun mengingatkan bahawa pengendali yang mempunyai pendedahan besar kepada pelanggan China dan menyediakan perkhidmatan GPU secara langsung berisiko menghadapi kelewatan pelaburan akibat keperluan pelesenan lebih ketat. - DagangNews.com





