Dakwaan Rasuah Tok Mat, SPRM Digesa Segera Siasat Laporan Sarawak Report

LocalPolitics
17 Oct 2022 • 9:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mohamad Hasan - Gambar Abdul Razak Latif

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat segera laporan Sarawak Report berhubung dakwaan rasuah yang dilakukan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Penasihat Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia (JPNM), Datuk Halim Tuan Rahmat berkata, siasatan tersebut perlu disegerakan berikutan Mohamad bukan sahaja menyandang jawatan kedua tertinggi parti, bahkan turut bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO.

Menurut beliau, laporan yang disiarkan portal berkenaan empat hari lalu antara lain mendakwa, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu terbabit dalam pengubahan wang haram berjumlah RM10 juta, yang dilakukan melalui sebuah syarikat pengurup wang.

Portal itu juga mendakwa, lesen operasi syarikat berkenaan sudah ditarik susulan transaksi tersebut.

image is not available
Syed Muhammad Imran (kiri) dan Halim pada sidang media selepas membuat laporan di SPRM Putrajaya, hari ini. - Ihsan SPRM

“JPNM bimbang dengan laporan Sarawak Report yang dianggap sebagai tohmahan dan tuduhan ketika negara berada di ambang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

"Sebagai NGO kami berasa sangat dukacita. Justeru, kami meminta SPRM menyiasat laporan Sarawak Report itu,” katanya selepas membuat laporan di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Halim berkata, pihaknya sebelum ini pernah membuat laporan kepada SPRM mengenai dakwaan hampir sama oleh Raja Petra Kamarudin yang disiarkan di portal Malaysia Today.

"Hari ini saya datang semula membuat laporan kepada SPRM kerana laporan dikeluarkan Sarawak Report mempunyai butiran terperinci dan sedikit berbeza sedikit berbanding yang disiarkan Raja Petra sebelum ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden JPNM, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, mereka amat berharap SPRM dapat meneliti perkara itu dengan terperinci supaya tohmahan dan fitnah seumpamanya tidak ditimbulkan pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita perlu jelas mengenai perkara ini supaya pembangkang tidak mainkan isu. Ia adalah sangat penting kerana Mohamad adalah juga Pengarah Pilihan Raya (UMNO).

"Kita perlukan keadilan kepada Mohamad dan UMNO," katanya. – Getaran, 17 Oktober 2022