
Kota Kinabalu: Seorang bekas pembantu jurutera awam berusia 37 tahun bakal mengetahui pada 15 Feb, 2023 sama ada dia perlu menjawab dua pertuduhan menyalahgunakan jawatan memilih syarikat adiknya untuk projek penyelenggaraan jalan bernilai RM249,990.
Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat menetapkan tarikh itu untuk Herwan Malik apabila pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 13 saksi dalam perbicaraan itu.
Mahkamah juga menetapkan 20 Jan, 2023 untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan dan hujahan balas jika ada pada 3 Feb, 2023.
Bagi pertuduhan pertama, Herwan selaku ahli jawatankuasa yang membuat keputusan mengenai sebut harga di pejabat daerah Kota Marudu, didakwa menyalahgunakan jawatannya untuk memilih Pemborong Sri Tassha milik adiknya, Rozanah Malik, 32, untuk menjalankan projek penyelenggaraan jalan di sepanjang Jalan Pertanian di Kg Sungai Laut, Kota Marudu bernilai RM100,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 8 pagi dan 5 petang pada 28 Feb, 2013 di pejabat daerah Kota Marudu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk memberikan projek penyelenggaraan jalan di Kg Pendawar, Kota Marudu bernilai RM149,990 kepada syarikat sama di tempat sama pukul 3 petang pada 30 April, 2014.
Kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali dari nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah mengendalikan pendakwaan manakala peguam Shahlan Jufri mewakili Herwan yang diikat jamin.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


