
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 60 tahun bakal mengetahui nasibnya pada 31 Jan, 2023 atas pertuduhan merogol anak perempuan teman wanitanya yang merupakan orang kurang upaya.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menetapkan tarikh itu untuk Richard @ Rich Jawi apabila pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil tiga saksi pada Selasa.
Mahkamah juga menetapkan pada atau sebelum 19 Dis tahun ini untuk penghujahan silang dan pada atau sebelum 13 Jan, 2023 untuk jawapan.
Richard didakwa merogol remaja perempuan kurang upaya berusia 17 tahun itu pukul 1 tengah hari pada 25 Feb, 2018 di sebuah rumah di Penampang.
Perbuatan di bawah Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara sepuluh dan 30 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memanggil tujuh saksi.
Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman mengendalikan pendakwaan manakala peguam Khairuddin Noordin mewakili Richard yang jaminannya dilanjutkan sementara menunggu keputusan.
Sementara itu, perbicaraan ke atas seorang lelaki berusia 37 tahun yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita ketika menyamunnya, dikekalkan iaitu pada 8 Mac, 2023.
Tarikh itu dikekalkan buat masa ini untuk M.Sharif Shakhandar Benjamin yang didakwa menyebabkan kecederaan ke atas seseorang bernama Petronelia Baru, 21.
M.Sharif didakwa menggunakan pemutar skru ketika menyamunnya jam 4.35 pagi pada 28 Mei tahun ini di Kedai Serbaneka Orange di Jalan Pantai, di sini.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi yang masih bebas.
Sementara menunggu tarikh itu, M.Sharif diperintah direman lanjut.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
