Dakwaan Seleweng Dana Zakat: Ikram Rehatkan 3 Ahli, Akan Beri Kerjasama Penuh

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 4:44 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Dakwaan Seleweng Dana Zakat: Ikram Rehatkan 3 Ahli, Akan Beri Kerjasama Penuh

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak semalam (22 April) kecoh mengenai penahanan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyeleweng dana zakat bernilai sekitar RM230 juta.

Dua dari mereka termasuk timbalan pengerusi NGO berkenaan kemudiannya ditahan reman selama empat (4) hari bermula hari ini hingga 25 April bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009.

Meskipun tiada sebarang nama yang didedahkan namun netizen mula berspekulasi dan menyebut beberapa nama individu yang dakwa mereka terlibat dengan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

Ikram pandang serius, tegaskan amanah adalah asas utama dalam organisasi

Terbaharu Ikram menerusi satu kenyataan menjelaskan pihaknya mengambil maklum laporan media berhubung penahanan tiga individu di Hulu Selangor terbabit. 

Menurut Presidennya, Badlishah Sham Baharin, NGO itu memandang serius dan menegaskan bahawa integriti serta amanah merupakan asas utama yang sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja organisasi.

Sehubungan itu, individu yang terlibat telah direhatkan serta-merta daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi. 

Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses siasatan.

Ikram hormati siasatan SPRM, akan terus beri kerjasama

Tambah beliau lagi, Ikram turut menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak SPRM dan akan terus memberikan kerjasama yang sewajarnya, selaras dengan keperluan undang-undang serta prinsip keadilan.

Pihaknya juga akan mengambil tindakan tatatertib sekiranya individu terlibat terbukti bersalah.

“IKRAM ingin menjelaskan bahawa perkara ini melibatkan tindakan individu dan tidak melibatkan organisasi secara langsung. Selaras dengan perlembagaan IKRAM, jika didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil bagi memastikan integriti organisasi terus terpelihara. 

“IKRAM akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut berhubung perkara ini. Segala keputusan dan penjelasan adalah tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.”

Ikram dalam masa sama turut komited untuk menilai dan terus memperkukuh amalan tadbir urus organisasi agar telus, berintegriti serta selaras dengan tuntutan syarak dan prinsip kedaulatan undang-undang. 

Semakan dalaman juga sedang dijalankan bagi memastikan penilaian yang menyeluruh.

“Ikram menghargai keprihatinan semua pihak dan memohon agar ruang diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan sewajarnya.

“Ikram kekal berpegang bahawa amanah adalah tanggungjawab besar yang perlu dipelihara dengan penuh integriti dan akan terus diperkukuhkan,” kata beliau lagi.