
PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) telah mengesahkan struktur teres besi menempatkan peserta grafik manusia bagi sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya di sini, selamat digunakan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah mendapat penjelasan teknikal daripada PPj dan struktur itu direka dengan sedikit tahap toleransi pergerakan.
Beliau berkata, struktur itu direka sedemikian bagi memastikan kestabilan dan keselamatan ketika digunakan oleh peserta yang bergerak secara serentak mengikut rentak persembahan.
“Kalau struktur itu terlalu rigid (keras), ia tidak baik untuk keseluruhan sistem. Sebab itu terdapat sedikit toleransi yang telah diambil kira dalam reka bentuknya.
“Alhamdulillah, ini kali ketiga struktur tersebut digunakan dan setakat ini tiada sebarang masalah keselamatan,” katanya ketika ditemui ketika meninjau persiapan raptai sambutan Hari Kebangsaan 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai beberapa pandangan yang dibangkitkan berhubung struktur besi grafik manusia yang dikatakan bergoyang.
Mengulas dakwaan kononnya kedudukan struktur grafik manusia yang tidak simetri dengan Kompleks PPj, Fahmi berkata, struktur itu kelihatan tidak berada di tengah atau tidak simetri adalah disebabkan kedudukan laluan perarakan dan bangunan PPj yang tidak berada pada paksi yang sama.
Katanya, faktor itu menyebabkan struktur berkenaan kelihatan sedikit tersasar apabila dilihat dari sudut tertentu.
“Pihak PPj telah menjelaskan bahawa kedudukan bangunan dan laluan perarakan mempunyai sedikit perbezaan sudut. Disebabkan itu, dari sesetengah sudut pandangan, ia nampak tidak berada tepat di tengah.
“Saya telah meminta pihak urus setia meneliti perkara itu pada masa hadapan bagi mengurangkan persepsi bahawa struktur tersebut tidak simetri,” katanya.
Katanya, persembahan grafik manusia tahun ini melibatkan 1,500 pelajar berbanding 2,000 peserta pada tahun lalu, sekali gus menyebabkan kedudukan struktur berkenaan kelihatan lebih ketara berbanding sebelumnya.
“Pada tahun lalu struktur itu juga tidak berada tepat di tengah, tetapi kerana jumlah peserta lebih ramai, keadaan itu tidak begitu ketara. Tahun ini jumlah peserta dikurangkan kepada 1,500 orang, sebab itu ia kelihatan lebih jelas,” katanya. –UTUSAN
The post Dakwaan struktur besi grafik manusia bergoyang: Ia disahkan selamat appeared first on Utusan Malaysia.



