
PUTRAJAYA - Struktur bertingkat yang digunakan pelajar sekolah bagi persembahan grafik manusia sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 disahkan selamat, manakala pergerakan kecil pada struktur berkenaan adalah sebahagian daripada ciri fleksibiliti yang sememangnya direka sedemikian.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku penyedia struktur berkenaan, dan mereka memberi jaminan bahawa aspek keselamatannya berada pada tahap yang baik sepanjang sambutan berlangsung.
Menurutnya, struktur tersebut tidak boleh direka terlalu tegar kerana pelajar yang terlibat perlu bergerak mengikut rentak persembahan.
“Pihak PPj memaklumkan bahawa struktur itu mempunyai sedikit apa yang dipanggil sebagai flex tolerance atau toleransi fleksibiliti. Kalau struktur itu terlalu tegar seperti jambatan, sedangkan persembahan grafik manusia memerlukan pergerakan mengikut rentak, keadaan itu sebenarnya tidak baik untuk struktur berkenaan.
“Jadi, ia perlu mempunyai sedikit toleransi dan ciri tersebut memang telah diambil kira serta dimasukkan dalam reka bentuk struktur,” katanya kepada pemberita selepas meninjau raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2026 hari ini.
Fahmi berkata struktur itu turut melalui pemeriksaan bagi memastikan pergerakan pelajar tidak menjejaskan persembahan, selain tidak mendatangkan sebarang risiko keselamatan kepada peserta.
Beliau berkata tahun ini merupakan tahun ketiga struktur berkenaan digunakan dan setakat ini tiada sebarang masalah dilaporkan.
Mengulas kebimbangan mengenai struktur yang dilihat seolah-olah tidak berada di tengah, Fahmi menjelaskan keadaan itu berpunca daripada kedudukan laluan perarakan dan bangunan PPj yang tidak berada pada paksi yang sama.
Katanya, perbezaan beberapa darjah antara kedua-dua kedudukan tersebut menyebabkan struktur berkenaan kelihatan tidak simetri apabila dilihat dari sudut tertentu.
“Tahun lalu pun strukturnya tidak simetri, cuma jumlah peserta grafik manusia lebih ramai.
“Tahun ini jumlah peserta dikurangkan daripada 2,000 kepada 1,500 orang dan itu antara sebab mengapa kedudukannya kelihatan lebih ketara seperti tidak berada di tengah.
“Tahun lalu pun strukturnya begitu, tetapi kerana jumlah peserta lebih ramai, kira-kira 500 orang tambahan, strukturnya menjadi lebih besar dan keadaan itu tidak begitu ketara,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata persiapan Sambutan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung Isnin ini berjalan lancar dan dijangka mencapai tahap hampir 100 peratus selepas raptai penuh yang dijadualkan esok.
Beliau berkata raptai hari ini turut menunjukkan semangat dan moral yang memberangsangkan dalam kalangan kontinjen, termasuk anggota polis, tentera serta pelajar daripada pelbagai sekolah yang terbabit dalam persembahan grafik manusia.
Jawatankuasa penganjur turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan, antaranya mempercepatkan pergerakan kontinjen tertentu bagi memastikan keseluruhan acara berlangsung dengan lebih lancar.
Sambutan tahun ini juga bakal menampilkan beberapa elemen baharu, termasuk penyertaan Johor Military Force (JMF) serta aset maritim, termasuk bot kelas Ibrahim yang direka oleh Yang di-Pertuan Agong.
Fahmi berkata kehadiran aset baharu berkenaan, selain pelbagai formasi yang dipersembahkan, dijangka memberikan pengalaman yang lebih menarik kepada orang ramai.
Raptai penuh dijadualkan berlangsung esok sebagai persiapan terakhir sebelum acara utama. - Getaran, 28 Ogos 2026






