Dakwaan tampar pelajar: Azhar pertimbang tindakan undang-undang

LocalPolitics
3 Jun 2026 • 6:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dakwaan tampar pelajar: Azhar pertimbang tindakan undang-undang
Azhar (kiri) meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang susulan dakwaan mengaitkannya dengan insiden menampar seorang pelajar dalam satu program di Janda Baik, Pahang bulan lalu.

SHAH ALAM – Ketua UMNO Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad meneliti kemungkinan mengambil tindakan undang-undang susulan dakwaan mengaitkannya dengan insiden menampar seorang pelajar dalam satu program di Janda Baik, Pahang bulan lalu.

Bekas Ahli Dewan Negara itu menegaskan, tindakan tersebut bagi menentukan kesahihan fakta serta implikasi undang-undang yang berkaitan.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan saluran undang-undang yang diperuntukkan sekiranya terdapat asas yang kukuh dan bukti mencukupi bahawa mana-mana pihak telah melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

"Tidak terhad kepada fitnah, penyebaran maklumat palsu atau tindakan yang menjejaskan reputasi dan kepentingan saya," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan susulan dakwaan ditampar seorang senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.

Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 petang selepas tamat sesi ceramah sempena Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 yang diadakan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU).

Pelajar berkenaan mendakwa, kejadian tersebut menyebabkannya berasa terhina, malu dan terkesan dari segi emosi kerana berlaku di hadapan orang ramai.

Rentetan itu, Azhar tampil menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan insiden itu disalah tafsir apabila rakaman video yang tersebar tidak memaparkan keseluruhan konteks sebenar.

Menurutnya, kejadian berlaku dalam suasana mesra selepas beliau selesai menyampaikan syarahan dalam Program Pemerkasaan Bangsa Pemimpin Pelajar dan Pengurusan Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM).