
KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan membabitkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.
AGC dalam kenyataan pada Selasa berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti kertas siasatan yang dikemukakan PDRM pada 30 Oktober lalu.
Menurut AGC, penelitian menyeluruh mendapati beberapa tindakan siasatan tambahan perlu dilaksanakan pegawai penyiasat sebelum sebarang keputusan dapat dibuat berhubung kes berkenaan.
“Sehubungan itu, kertas siasatan akan dikembalikan kepada PDRM hari ini untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Siasatan berkenaan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan susulan dakwaan bahawa Ismail menandatangani satu proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika berada di bawah pengaruh tidak wajar.
Kenyataan terbaharu AGC itu menyusul penjelasan pihak berkenaan sehari sebelum ini bahawa tiada kelewatan berlaku dalam proses penelitian kes tersebut.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebelum ini berkata, kertas siasatan polis dirujuk kepada AGC pada 29 September lalu sebelum dikembalikan kepada PDRM dengan arahan tertentu pada 7 Oktober.
Isu berkenaan timbul selepas Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin mempersoalkan tempoh yang diambil AGC untuk membuat keputusan berhubung siasatan itu, dengan menyatakan penduduk Negeri Sembilan masih menunggu perkembangan kes berkenaan meskipun kertas siasatan telah diserahkan polis. - Getaran, 3 November 2026






