
KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kini dalam persiapan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan, Albert Tei yang menuduh beliau membuat ugutan.
Azam menegaskan bahawa dakwaan yang dilemparkan oleh Tei adalah tidak berasas sama sekali, selain menyatakan beliau tidak pernah mempunyai sebarang urusan dengan individu terbabit.
"Sejujurnya, saya tidak pernah berurusan dengannya, tidak pernah berkomunikasi dengannya, dan tidak pernah menghantar peguam saya untuk bercakap dengannya," kata Azam kepada Bernama hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung siasatan kes dakwaan ugutan jenayah yang dikaitkan dengan dirinya.
Azam mengesahkan sudah berhubung dengan pihak berkuasa dan bersedia memberikan kenyataan bagi membantu siasatan. Sambil menyambut baik siasatan tersebut, beliau turut mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat Tei.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan pihak polis akan memanggil Azam dalam masa terdekat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Siasatan berkenaan susulan laporan polis yang dibuat oleh Tei pada 13 Mei lalu, yang mendakwa beliau menerima ugutan daripada bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu ketika cuba mendedahkan skandal rasuah melibatkan ahli politik di Sabah. - 27 Mei, 2026
The post Dakwaan ugutan jenayah: Azam Baki heret Albert Tei ke mahkamah appeared first on Scoop.





