hamden26/05/2026 - 17:49 editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Mei - Polis dijangka merakam keterangan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan yang dibuat oleh ahli perniagaan, Albert Tei.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan kes berkenaan kini sedang dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Menurut beliau, Tei telah membuat laporan polis pada 13 Mei lalu dengan mendakwa beliau telah diugut oleh peguam yang dikaitkan dengan Azam.
“Setakat ini, polis telah merakam keterangan daripada dua individu iaitu pengadu (Tei) dan peguam yang didakwa menyampaikan ugutan tersebut,” katanya lapor NST.
Tei sebelum ini mendakwa Azam telah mengugutnya melalui peguam berhubung pertikaian dan siasatan yang sedang berlangsung, namun tidak mendedahkan butiran lanjut.
Siasatan itu susulan dakwaan awam Tei bahawa Azam telah mengugut, menghalang dan menindasnya ketika beliau cuba mendedahkan skandal rasuah yang didakwa melibatkan beberapa ahli politik kanan Sabah pada November tahun lalu.
Tei turut mendakwa beliau memiliki bukti termasuk rekod komunikasi dan saksi bagi menyokong dakwaannya.
“Saya mengesahkan bahawa individu yang mengugut, menghalang dan menindas saya ketika saya cuba mendedahkan skandal rasuah Sabah itu ialah Tan Sri Azam Baki.
“Saya tidak membuat tuduhan sewenang-wenangnya kerana saya mempunyai bukti termasuk rekod komunikasi dan senarai saksi yang mengetahui perkara tersebut,” katanya pada 13 Mei. - DagangNews.com






