KOTA BHARU – Perikatan Nasional (PN) menuntut penjelasan daripada PKR dan Kerajaan Pusat berhubung dakwaan Victor Chin mengenai pemberian RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR bagi menyelesaikan skandal ‘mafia korporat’.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada parti yang didakwa berkenaan.
“Kita tuntut penjelasan kerana tidak mahu menjadi pembangkang yang teruk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, dari segi undang-undang, sekiranya terdapat dakwaan bahawa seorang Ahli Parlimen diberi RM9.5 juta untuk parti tertentu, ia bermakna sudah wujud dakwaan yang perlu dijelaskan.
Ujarnya, menjadi tanggungjawab parti berkenaan untuk memberikan penjelasan.
Takiyuddin berkata, ia merupakan satu amalan rasuah dan parti yang disebut itu adalah parti yang dikatakan menentang rasuah hingga ke akar umbi.
“Terpulang kepada mereka untuk menafikan atau mengesahkan perkara itu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan bahawa ahli perniagaan yang terpalit dalam skandal ‘mafia korporat’, Victor Chin, mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan wang tunai sebanyak RM10 juta bagi menyelesaikan skandal berkenaan.
Dalam dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi peristiwa yang didakwanya itu, Victor bagaimanapun berkata beliau hanya menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal.


