KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menganggarkan kira-kira dua juta kenderaan akan memasuki negeri ini sepanjang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, peningkatan jumlah kenderaan dijangka berlaku seperti kebiasaan setiap kali musim perayaan apabila orang ramai pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Menurut beliau, susulan itu pihaknya melaksanakan Ops Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) sebagai langkah proaktif bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin sepanjang musim perayaan.
"Bagi menjayakan operasi ini, JPJ Kelantan menggerakkan seramai 187 anggota penguat kuasa melibatkan 33 kenderaan penguatkuasaan dan 50 pasukan operasi daripada semua bahagian termasuk JPJ cawangan serta stesen penguat kuasa di seluruh negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di lokasi kamera AwAS yang dipasang di FT03 Seksyen 702 Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu di sini pada Isnin.
Ujar beliau, sepanjang operasi tersebut, rondaan akan dilakukan di semua jalan persekutuan dan negeri dengan tumpuan kepada 10 koridor utama trafik serta 38 kawasan blackspot kemalangan berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, antara lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi kemalangan ialah Jalan Kuala Krai–Gua Musang, Pasir Puteh–Kuala Terengganu serta laluan Jeli ke Perak.
Dalam pada itu, Mohd Misuari berkata, beberapa kaedah penguatkuasaan akan digunakan sepanjang operasi termasuk rondaan beruniform, penyamaran menggunakan kenderaan tanpa logo serta penyamaran sebagai penumpang bas ekspres.
"Pendekatan ini dilaksanakan bagi meningkatkan Perception of Being Caught (POBC) dalam kalangan pengguna jalan raya," katanya.
Tambah beliau, JPJ Kelantan turut menggerakkan Unit Falcon yang menggunakan motosikal bagi rondaan trafik di kawasan bandar.
Mohd Misuari memberitahu, unit ini dilengkapi Enforcement Action Camera iaitu GoPro untuk merakam kesalahan lalu lintas.
Selain itu, katanya, Unit Risik JPJ juga akan menggunakan dron bagi memantau aliran trafik serta mengesan kesalahan pengguna jalan raya dari udara.
Menurut beliau, bagi kesalahan yang dirakam, pemilik kenderaan akan menerima Notis Panggilan Temu Siasat di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam perkembangan sama, Mohd Misuari turut mengalu-alukan pengguna jalan raya menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan terutamanya di laluan Gua Musang.
"Kita tiada halangan sekiranya pengguna memilih laluan alternatif kerana ia dapat membantu mengurangkan kesesakan trafik sepanjang musim perayaan ini," katanya.


