
KUALA LUMPUR – Pendekatan dakwah yang sederhana, berhemah dan berlandaskan hikmah perlu terus diperkasakan bagi menangani cabaran Islamofobia serta salah faham terhadap Islam yang semakin meningkat di peringkat global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, badan-badan dakwah perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menyampaikan mesej Islam secara bijaksana agar dapat difahami masyarakat pelbagai kaum dan agama tanpa menimbulkan keresahan atau permusuhan.
“Dakwah mesti dilakukan dengan penuh hikmah, memahami permasalahan yang wujud dan menggunakan segala kecanggihan yang ada bagi menyampaikan mesej Islam secara lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Menurut beliau, dunia kini berdepan cabaran baharu apabila Islam sering menjadi sasaran prasangka dan Islamofobia, justeru suara badan-badan dakwah yang sederhana amat diperlukan untuk menjelaskan ajaran Islam secara rasional dan berhikmah.
Katanya, pendekatan tersebut bukan sahaja dapat memperkukuhkan kefahaman dalam kalangan umat Islam, malah membantu mewujudkan persefahaman dengan masyarakat bukan Islam.
Anwar berkata, kerajaan Madani akan terus memberikan sokongan kepada usaha memperkasakan institusi wakaf dan dakwah termasuk menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP).
Tambahnya, konsep wakaf telah lama menjadi pemangkin kepada pembangunan institusi pendidikan, penyelidikan dan kebajikan umat, justeru usaha itu perlu terus diperkukuhkan mengikut keperluan semasa.
“Jika kita menguasai teknologi, kita akan terus maju. Tetapi jika teknologi itu tidak dipandu dengan nilai dan etika, ia mampu memusnahkan kemanusiaan.
“Kita perlu mencapai ke langit dengan teknologi, namun pada masa sama berakar di bumi dengan nilai, budaya, bahasa dan sejarah negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa institusi pendidikan sentiasa menyesuaikan kurikulum mengikut perkembangan teknologi supaya graduan memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan semasa tanpa mengabaikan pembentukan sahsiah. – KOSMO! ONLINE
The post Dakwah berhemah tangani Islamofobia – Anwar appeared first on Kosmo Digital.

