Dakwah berhemah untuk tangani Islamofobia

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 6:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dakwah berhemah untuk tangani Islamofobia

KUALA LUMPUR: Pendekatan dakwah yang sederhana, berhemah dan berlandaskan hikmah perlu terus diperkasakan bagi menangani cabaran Islamofobia serta salah faham terhadap agama yang semakin meningkat di peringkat global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, badan-badan dakwah perlu memainkan peranan lebih aktif dalam menyampaikan mesej Islam secara bijaksana agar dapat difahami masyarakat pelbagai kaum dan agama tanpa menimbulkan keresahan atau permusuhan.

“Dakwah mesti dilakukan dengan penuh hikmah, memahami permasalahan yang wujud dan menggunakan segala kecanggihan yang ada bagi menyampaikan mesej Islam secara lebih berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, dunia kini berdepan cabaran baharu apabila Islam sering menjadi sasaran prasangka dan Islamofobia, justeru suara badan-badan dakwah yang sederhana amat diperlukan untuk menjelaskan ajaran Islam secara rasional dan berhikmah.

Katanya, pendekatan tersebut bukan sahaja dapat memperkukuhkan kefahaman dalam kalangan umat Islam, malah membantu mewujudkan persefahaman dengan masyarakat bukan Islam.

Anwar berkata, kerajaan Madani akan terus memberikan sokongan kepada usaha memperkasakan institusi wakaf dan dakwah termasuk menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP).

Jelasnya, konsep wakaf telah lama menjadi pemangkin kepada pembangunan institusi pendidikan, penyelidikan dan kebajikan umat, justeru usaha itu perlu terus diperkukuhkan mengikut keperluan semasa.

“Jika kita menguasai teknologi, kita akan terus maju. Tetapi jika teknologi itu tidak dipandu dengan nilai dan etika, ia mampu memusnahkan kemanusiaan.

“Kita perlu mencapai ke langit dengan teknologi, namun pada masa sama berakar di bumi dengan nilai, budaya, bahasa dan sejarah negara,” katanya.

Tembahnya, institusi pendidikan perlu sentiasa menyesuaikan kurikulum mengikut perkembangan teknologi supaya graduan memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan semasa tanpa mengabaikan pembentukan sahsiah. – UTUSAN

The post Dakwah berhemah untuk tangani Islamofobia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved