Dalam rumah pun tak selamat! UV dari tingkap berisiko rosakkan kulit anda

Health & FitnessLifestyle
17 Mar 2026 • 4:28 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

MENJELANG Aidilfitri, ramai yang sibuk menyiapkan rumah, memasak di dapur berdepan tingkap, atau memandu jauh untuk berkunjung.

Aktiviti harian ini, walaupun nampak rutin, boleh menyebabkan kulit terdedah kepada pendedahan UV mikro secara senyap.

Menurut Pakar Perunding Dermatologi (Lawatan), Dr Teeba Raja dari Columbia Asia Hospital Cheras, sinaran ultraungu (UV) masih boleh menembusi kulit walaupun berada di dalam rumah atau kenderaan, terutama melalui cahaya matahari yang masuk melalui tingkap.

Kesedaran dan langkah perlindungan mudah adalah kunci untuk memastikan kulit kekal sihat dan berseri sepanjang musim perayaan.

"Ramai yang beranggapan bahawa selagi berada di dalam rumah atau pejabat, kulit selamat daripada sinaran matahari.

"Sebenarnya, tanggapan ini tidak tepat sepenuhnya. Walaupun tidak berada di bawah matahari terik, kulit tetap boleh menerima sinaran UV tanpa disedari," ujarnya.

Beliau menambah, sinaran UV terbahagi kepada tiga jenis: UVA, UVB dan UVC.

"UVB, yang biasanya menyebabkan kulit terbakar, sukar menembusi kaca, jadi tingkap rumah atau pejabat memberi perlindungan yang baik.

"Namun, UVA berbeza kerana ia boleh menembusi kaca rumah, pejabat, kereta, malah bangunan tinggi," jelasnya lagi.

image is not available

Pakar itu turut menjelaskan, pendedahan itu bermakna walaupun duduk di dalam rumah, kulit tetap berisiko, terutama jika berada berhampiran tingkap.

"Pendedahan UV dalam rumah selalunya berlaku secara tidak langsung. Duduk membaca di tepi tingkap, memasak di dapur dengan cahaya matahari masuk, atau memandu jarak dekat setiap hari menyumbang kepada pendedahan UV mikro.

"Tempat yang dianggap "selamat” tetapi sebenarnya terdedah termasuk tepi tingkap rumah, dalam kereta, pejabat dengan tingkap kaca besar, kafe atau restoran dengan cahaya matahari masuk, dan duduk berhampiran pintu kaca gelangsar," ujarnya.

Langkah perlindungan

Berkongsi tentang kelompok yang lebih berisiko, antaranya pekerja pejabat atau mereka yang bekerja dari rumah berhampiran tingkap, pemandu dan penumpang kerap yang menerima pendedahan sisi muka dan lengan.

image is not available

"Individu dengan masalah pigmentasi seperti melasma atau jeragat, serta mereka yang baru menjalani rawatan kulit seperti laser, pengelupasan kimia atau microneedling tidak ketinggalan.

"Selain itu bagi yang berkulit cerah, kanak-kanak dan warga emas juga lebih mudah terdedah.

"Individu yang menggunakan ubat atau produk yang meningkatkan sensitiviti cahaya, tinggal di kawasan UV tinggi, pekerja luar, atau tidak mengamalkan perlindungan matahari secara konsisten turut berada dalam kelompok berisiko," kongsinya lagi.

Walaupun pendedahan kelihatan singkat, ia boleh terkumpul.

"UVA menembusi jauh ke dalam kulit dan memberi kesan jangka panjang termasuk pigmentasi, melasma lebih teruk, kedutan halus, kulit kusam, kerosakan kolagen, malah meningkatkan risiko kanser kulit.

"Masalah kulit yang sensitif terhadap cahaya boleh menjadi lebih kronik jika pendedahan berulang, tegas Dr. Teeba.

Untuk melindungi kulit, beberapa langkah mudah boleh diambil.

"Memasang langsir atau bidai, menggunakan filem penapis UV pada tingkap, duduk sedikit jauh dari tingkap, memakai pelindung matahari walaupun di dalam rumah, dan menggunakan pakaian atau fabrik tebal yang menutup kulit adalah cara berkesan.

"Perlu juga berhati-hati dengan lampu tertentu seperti lampu fluoresen lama dan halogen boleh mengeluarkan sedikit UVA, manakala cahaya biru daripada LED, telefon atau komputer boleh menyumbang kepada tekanan oksidatif pada kulit jika terdedah lama.

image is not available

"Kesedaran ini sangat penting kerana kulit yang sihat bukan sahaja kelihatan cantik, tetapi juga lebih terlindung daripada penuaan pramatang dan pigmentasi," ulas Dr Teeba lagi.

Dengan langkah perlindungan yang konsisten, kita boleh menikmati musim perayaan tanpa risau tentang kesan UV.

Memulakan rutin penjagaan kulit yang mudah hari ini akan membantu memastikan kulit kekal anjal, cerah, dan berseri untuk jangka panjang.